Berpendidikan tinggi tapi malu, takut jalani rawatan kanser di hospital — Dr. Anis


  • Massa
  • Sabtu, 27 Apr 2024

Apabila kanser dikesan pada peringkat awal, rawatan biasanya lebih ringan dan kurang invasif sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan serta memberi kesan psikologi yang lebih positif kepada pesakit.

PENGESANAN awal kanser adalah langkah penting dalam usaha untuk mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini.

Di Malaysia, penyakit kanser atau turut dikenali sebagai barah merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi selepas penyakit jantung dan pneumonia.

Malah, kadar kematian akibat kanser di Malaysia juga meningkat daripada 32 kematian setiap 100,000 penduduk pada tahun 2007, kepada 47 kematian untuk jumlah penduduk sama pada tahun 2022.

Sehubungan itu, dengan mengenal pasti kanser pada peringkat awal, terdapat peluang lebih baik untuk rawatan yang berkesan dan kejayaan pemulihan lebih tinggi.

Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr. Mohd Anis Haron @ Harun berkata, apabila kanser dikesan pada peringkat awal, rawatan biasanya lebih ringan dan kurang invasif sekali gus dapat mengurangkan kos rawatan serta memberi kesan psikologi lebih positif kepada pesakit.

Katanya lagi, pengesanan awal kanser juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup kerana peluang pemulihan meningkat berikutan rawatan yang diterima berkesan.

"Tetapi bagaikan lumrah apabila ada yang berpendidikan tinggi, dalam kalangan graduan tetapi malu dan takut untuk mendapatkan rawatan di hospital dan memilih kaedah alternatif.

"Semuanya berkait-kait, apabila mereka datang ke hospital lewat iaitu ketika keadaan semakin teruk jadinya mereka perlu menjalani rawatan lebih dan mungkin sudah tidak sesuai untuk melalui proses rawatan onkologi, kemoterapi, radioterapi sebaliknya hanya perawatan paliatif.

"Selain itu, ada juga keadaan di mana luka mereka terlalu besar, mungkin bernanah dan mereka terpaksa melalui kemoterapi dahulu dan perawatan onkologi sebelum dibedah," katanya dalam satu sesi temu bual khas bersama Majoriti di Institut Kanser Negara, Putrajaya baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Risiko wanita dan lelaki di Malaysia menghidap kanser seimbang, beza banding 10 tahun lalu

Interview Pengarah IKN berhubung tajuk Ramalan Meningkatnya Dua Kali Ganda Kes Kanser di Malaysia Menjelang Tahun 2040—LOW BOON TAT/THE STAR

Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron@Harun

Sehubungan itu, Dr. Anis menasihatkan semua pihak yang mempunyai simptom penyakit kanser supaya tidak berlengah dengan menggunakan ubat tertentu atau rawatan tradisional hanya berdasarkan testimoni.

"Sebenarnya apabila kita menggunakan rawatan moden di hospital, ia terbukti mampu menyembuhkan pesakit dan semua rawatan ini sudah dikaji dan diuji berulang kali," katanya yang mengulangi pentingnya pengesanan awal penyakit berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kos rawatan kanser di hospital kerajaan, Dr. Anis berkata, penetapan anggaran jumlah kos rawatan bagi setiap pesakit kanser adalah berbeza mengikut keperluan rawatan serta ubatan.

Kos rawatan

Selain itu, kita perlu juga mengambil kira pelbagai aspek seperti kos ketara dan tidak ketara kerana ada perbezaan kos rawatan jika pesakit dirujuk dari fasiliti kesihatan awam dan fasiliti kesihatan swasta.

Menurut beliau lagi, IKN adalah fasiliti kesihatan tertiari kerajaan dan bayaran untuk pesakit adalah mengikut apa yang dinyatakan dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982.

"Sehubungan itu, kos rawatan contohnya ubat-ubatan bergantung kepada ketersediaan ubat-ubatan yang disediakan oleh hospital kerajaan.

"Ubat yang baharu di pasaran biasanya lebih mahal berbanding dengan ubat yang lama di pasaran tetapi ia bergantung kepada tahap kanser pesakit.

"Dalam usaha untuk menenuhi keperluan pesakit kanser yang sering berdepan kos rawatan tinggi, program bantuan pesakit menjadi salah satu pendekatan berkesan dalam menyediakan sokongan kewangan kepada individu yang memerlukan.

"Salah satu contoh apabila pesakit membeli ubat antikanser untuk satu kitaran, akan diberikan percuma satu ubat antikanser lain yang juga digunakan untuk perawatan kanser pesakit," katanya.

BACA LAGI: 'Jangan membongak', bekas pesakit kanser tepis dakwaan ejen insurans, kos rawatan kemoterapi hospital kerajaan

Tambah beliau lagi, IKN turut menjalinkan kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Kanser Nasional atau pusat urus zakat bagi mendapatkan dana khas membantu pesakit kurang berkemampuan menampung kos rawatan pesakit.

"Unit Kerja Sosial Perubatan IKN juga membantu dari segi kewangan, peralatan perubatan, keperluan harian serta penginapan bagi pesakit yang datang dari lokasi yang jauh dari IKN.

"Sebagai contoh, aktivis kebajikan Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang menawarkan rumah sewa di Putrajaya dengan harga RM1 semalam bagi membolehkan keluarga pesakit kanser yang jauh dari Putrajaya yang sedang mendapatkan rawatan di IKN menginap.

"Bagaimanapun, keperluan bagi kesemua bantuan yang disediakan ini perlu melalui proses saringan tahap ekonomi," jelas beliau.

Interviu Pengarah IKN berhubung tajuk Ramalan Meningkatnya Dua Kali Ganda Kes Kanser di Malaysia Menjelang Tahun 2040—LOW BOON TAT/THE STAR

Individu yang menghidap kanser perlu mendapatkan rawatan awal di hospital agar rawatan lebih berkesan dan peluang pemulihan meningkat.

Dr. Anis berkata, inisiatif seperti program bantuan pesakit ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan pesakit kanser, tetapi juga meningkatkan aksesibiliti dan keberkesanan rawatan.

"Dengan menyediakan sokongan kewangan yang diperlukan kepada pesakit, kita dapat membantu memastikan bahawa setiap individu mempunyai akses kepada rawatan kanser yang berkualiti tanpa mengabaikan keperluan kewangan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram