IKN ambil langkah proaktif hadapi cabaran kes pesakit kanser dijangka meningkat menjelang 2040


  • Massa
  • Selasa, 30 Apr 2024

Kadar kematian akibat kanser di Malaysia meningkat daripada 32 kematian setiap 100,000 penduduk pada tahun 2007, kepada 47 kematian untuk jumlah penduduk sama pada tahun 2022.

PESAKIT kanser di Malaysia diramal meningkat dua kali ganda menjelang 2040 dan Institut Kanser Negara (IKN) mula mengambil langkah proaktif untuk menghadapi cabaran yang dijangka timbul kelak.

Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr. Mohd Anis Haron @ Harun berkata, bagi mengurangkan statistik kematian yang melibatkan pesakit kanser dalam negara ianya melibatkan perancangan jangka pendek dan panjang.

"Antara langkah-langkah utama yang ditekankan adalah aspek pencegahan dan kesedaran awal.Untuk melawan penyakit tersebut, kita perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap kesihatan.

"Ini termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, pemeriksaan berkala, dan meningkatkan kesedaran tentang gejala awal kanser di kalangan masyarakat.

Pada masa sama,IKN juga berusaha untuk meningkatkan akses kepada rawatan kanser yang berkualiti dengan memperluas infrastruktur kesihatan dan meningkatkan latihan kepakaran bagi profesional kesihatan," katanya dalam satu sesi temu bual khas bersama Majoriti di Institut Kanser Negara, Putrajaya baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, IKN telah bekerjasama dengan beberapa hospital setakat ini bagi membantu merawat pesakit di negeri-negeri lain.

"Contohnya, kita hantar doktor onkologi bersama pakar serta pegawai perubatan untuk merawat pesakit kanser di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, Negeri Sembilan dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor.

"Selain itu, kita juga bercadang untuk menghantar beberapa pakar onkologi ke Hospital Alor Gajah, Melaka kerana terdapat peningkatan kes dalam kalangan pesakit kanser di Melaka," ujarnya yang memaklumkan pihaknya kini mempunyai 15 pakar untuk mengendalikan pelbagai kes penyakit yang menjadi pembunuh ke tiga di negara ini.

BACA LAGI: Berpendidikan tinggi tapi malu, takut jalani rawatan kanser di hospital — Dr. Anis

WhatsApp Image 2024-04-29 at 14.52.35

Sesi temubual Majoriti bersama Pengarah Institut Kanser Negara (IKN), Dr Mohd Anis Haron@Harun

Seiring arahan Kementerian Kesihatan, pegawai pendidikan kesihatan IKN juga turut terlibat dalam program pendidikan dalam komuniti supaya lebih ramai anggota masyarakat lebih faham akan pentingnya pengesanan awal penyakit termasuk kanser.

Tambah beliau lagi, di IKN sendiri, dari semasa ke semasa pihaknya menambah baik dan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) ekoran peningkatan bilangan pesakit kanser di mana hampir 20 kes baharu direkodkan dirujuk setiap hari.

"Justeru itu, kita percepatkan prosedur pendaftaran pesakit termasuk kemasukan ke wad dan pemeriksaan. Kita nak proses itu berjalan lancar agar memudahkan pesakit," katanya sambil memaklumkan IKN juga merancang untuk menambah jumlah katil di fasiliti kesihatan tersebut.

Kata bekas Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya itu, pihak IKN juga bercadang menjadikan IKN sebagai satu pusat rawatan untuk pesakit kanser wanita terutama yang melibatkan kanser payudara dan tiroid.

Malahan, katanya, dalam usaha untuk menangani risiko kanser, IKN turut memberi tumpuan kepada sokongan psikososial kepada pesakit kanser dan keluarga yang tidak mendapatkan rawatan di hospital.

BACA LAGI: [VIDEO] Risiko wanita dan lelaki di Malaysia menghidap kanser seimbang, beza banding 10 tahun lalu

WhatsApp Image 2024-04-29 at 15.00.06

IKN bercadang menjadikan fasililiti kesihatan itu sebagai satu pusat rawatan untuk pesakit kanser wanita.

"Akan ada doktor yang berkunjung ke rumah pesakit bagi memantau keadaan mereka dan memberikan bantuan rawatan yang diperlukan.

"Program-program sokongan seperti kaunseling dan kelompok sokongan diberi penekanan untuk membantu individu yang terjejas menghadapi cabaran emosi," katanya.

Pada masa sama, ujar Dr. Anis, kerjasama antarabangsa juga merupakan aspek penting dalam usaha pihaknya memerangi kanser.

"IKN sedang aktif berkolaborasi dengan pertubuhan kesihatan antarabangsa dan institusi penyelidikan untuk berkongsi pengetahuan dan teknologi terkini dalam bidang pencegahan dan rawatan kanser.

"Dengan pelbagai strategi yang dilaksanakan, mereka yakin dapat menghadapi cabaran peningkatan kes kanser menjelang 2040 dengan efektif dan memberikan impak positif kepada masyarakat negara ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan ramalan berdasarkan statistik Globocan (Global Cancer Observatory) mendapati Malaysia akan mencatat hampir 100,000 pesakit kes kanser baharu menjelang 2040.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang memetik data itu berkata, di negara ini kira-kira 48,639 kes kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan pada 2020.

Sehubungan itu, dengan pelbagai strategi ini, IKN yakin mereka dapat menghadapi cabaran peningkatan kes kanser menjelang 2040 dengan berkesan. IKN turut berharap usaha ini akan membawa impak positif kepada kesihatan masyarakat Malaysia dalam jangka masa panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram