PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) sentiasa prihatin dalam memberi perlindungan keselamatan sosial kepada segenap lapisan masyarakat di negara ini, termasuk Golongan Orang Bekerja Sendiri (OBS).
Golongan tersebut dibantu menerusi pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) merangkumi perlindungan bencana pekerjaan sendiri dan penyakit pekerjaan di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Ketua Bahagian Pekerjaan Sendiri PERKESO, Mohamad Haron Othman berkata, OBS yang mencarum di bawah skim berkenaan akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.
"Mulai 1 Januari 2020, perlindungan keselamatan sosial berkenaan diperluas kepada 20 perusahaan pekerjaan sendiri yang lain.
"Antara perusahaan pekerjaan sendiri termasuk premis penginapan, pengangkutan barangan atau makanan, perniagaan dalam talian, penternakan, penjaja, kesenian, perikanan, teknologi maklumat, pembuatan dan banyak lagi," katanya dalam satu kenyataan.
OBS yang mencarum di bawah skim berkenaan akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar. — Gambar hiasan
Mohamad Haron menjelaskan, insentif geran padanan SKSPS daripada kerajaan itu diwujudkan sejak penularan pandemik pada tahun 2020 bertujuan meringankan beban rakyat yang bekerja sendiri untuk mendapat perlindungan keselamatan sosial.
Ujar beliau, pada tahun 2023, kerajaan memperuntukkan subsidi bagi Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan kategori kedua (RM1,550) dengan jumlah caruman setahun sebanyak RM232.80.
“Dengan bantuan subsidi kerajaan, sebahagian caruman sebanyak RM186.20 (80 peratus) akan ditanggung kerajaan.
"Sementara OBS hanya perlu bayar baki RM46.60 setahun untuk mendapatkan perlindungan di bawah SKSPS,” jelasnya.
Tambah Mohamad Haron lagi, kerajaan pada tahun ini masih meneruskan peruntukan subsidi untuk membantu golongan bekerja sendiri dengan menaikkan lagi kadar subsidi daripada 80 kepada 90 peratus.
Katanya, ia bermakna, sebahagian caruman SKSPS iaitu RM209.50 (90 peratus) akan ditanggung kerajaan manakala OBS hanya perlu bayar baki RM23.30 setahun untuk perlindungan sosial SKSPS.
Insentif geran padanan SKSPS diwujudkan sejak penularan wabak Covid-19 di Malaysia pada tahun 2020.
BACA LAGI: Lebih 11,000 individu pulih sepenuhnya lepas jalani rawatan di pusat rehabilitasi PERKESO
"Perlindungan SKSPS melindungi Orang Berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan sendiri dan penyakit pekerjaan.
"Ia termasuk kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan dan penyakit pekerjaan,” jelasnya lagi.
Menurut beliau, penyakit pekerjaan adalah penyakit yang berpunca atau terbit daripada pekerjaan.
Katanya, skim berkenaan menyediakan faedah tunai kepada Orang Berinsurans bekerja sendiri dan tanggungannya.
"Ia juga menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional,” ujarnya.
Sehingga 15 Mac 2024, terdapat sebanyak 42,687 OBS yang mendapat perlindungan sosial SKSPS melalui inisiatif terbaharu daripada Belanjawan 2024.
Kementerian Pengangkutan turut melaksanakan inisiatif bantuan caruman PERKESO kepada 50,000 pemandu teksi dan bas sekolah di seluruh negara tahun ini.
Bantuan berkenaan antara usaha kementerian itu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram