PADA Sabtu, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur berkaitan hantaran mengenai pengoperasian kasino di Forest City, Johor.
Peguamnya, Rafique Rashid Ali berkata, Badrul ditahan di IPD Dang Wangi untuk disiasat di bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
Menurutnya, polis akan memohon perintah reman terhadap aktivis politik itu pada pukul 8.45 pagi Ahad (28 April).
BACA LAGI: PM Anwar nafi laporan kerajaan mahu buka kasino di Forest City
Menerusi hantaran Chegubard di Facebook, dia menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City itu.
Dalam pada itu, dia turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.
Sebelum ini, media antarabangsa, Bloomberg melaporkan Anwar mengadakan pertemuan bersama Berjaya Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting pada minggu lepas untuk membincangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menafikan laporan berkenaan dan menggesa agar tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaannya.
Laporan Bloomberg yang memetik sumber berkata, projek kasino berupaya menyuntik pemulihan terhadap projek Forest City bernilai RM478.35 bilion. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram