MESKIPUN berdepan kesukaran termasuk kampung halaman musnah angkara kekejaman Israel namun ia tidak mematahkan semangat mahasiswa Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Abdallah Abuajwa untuk menduduki ujian kelayakan secara dalam talian dari Utara Gaza, Palestin sehingga berjaya lulus.
Menerusi rakaman video yang dikongsikan oleh USIM, Abdallah yang kini berada di utara Gaza kelihatan berpakaian kemas, duduk di dalam khemah di kawasan lapang yang dikelilingi runtuhan bangunan yang dimusnahkan tentera Zionis bagi menduduki ujian tersebut.
Abdallah yang berumur 40 tahun itu merupakan pelajar program PhD dalam Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan itu berazam untuk menjalani ujian berkenaan meskipun berdepan risiko dibom pada bila-bila masa.
BACA LAGI: Chegubard ditahan polis berhubung hantaran laporan kasino Forest City
BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga
Di penghujung sesi ujian tersebut, Abdallah merakamkan ucapan terima kasih kepada warga fakulti khususnya jawatankuasa penyeliaan diketuai Dr Ali Nasser Ali Al-Tahitah yang tidak putus-putus memberi sokongan moral dan bimbingan sepanjang pengajiannya.
“Saya akan meneruskan pengajian saya hingga tamat walau sesukar mana pun keadaannya.
“Keadaan yang amat mencabar ini menjadikan saya lebih kuat dan saya akan terus berdoa agar ALLAHSWT memberikan saya ilmu yang bermanfaat untuk agama dan Palestin,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan USIM.
Menurut Abdallah, meskipun infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat di Gaza musnah akibat serangan tentera Zionis namun dia masih berjaya mendapatkan isyarat internet bagi meneruskan sesi ujian tersebut.
“Saya menggunakan sel solar agar peralatan elektronik boleh terus berfungsi bagi mendapatkan sumber elektrik untuk mengecas komputer riba dan telefon bimbit,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram