PENYERANG Korea Selatan, Seo Seon-ung menjadi wira utama Perak FC musim lalu apabila menjaringkan tujuh gol dalam Liga Super serta membantu mereka mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
Meskipun tidak mempunyai struktur fizikal yang tegap, pemain muda itu bijak menggunakan tubuhnya yang kecil untuk melepasi benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun, kelab Utara tanah air itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya yang kemudian menyaksikan penyerang itu kembali ke negara kelahirannya.
Tetapi, pada Jumaat, Seo membuat satu pendedahan mengejutkan apabila menyatakan dia tidak menerima bayaran gaji sepanjang beraksi buat skuad The Bos Gaurus (TBG).
BACA LAGI: Posisi baharu Seo-nung berbaloi, sumbang kemenangan sulung Perak FC
Skuad TBG kini meletakkan Lee Tae-min sebagai import baharu dari Korea Selatan. — Facebook/Perak FC
Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, pemain berusia 24 tahun berkenaan menjelaskan bagaimana dirinya terjerumus ke masalah tersebut gara-gara ketiadaan pasukan.
"Saya tahu kenapa dia (ejen) berkenaan melakukannya, ini semua kerana wang. Mereka hanya menggunakan pemain muda tanpa kelab kerana masing-masing amat terdesak.
"Sebenarnya, saya tidak mahu katakannya, tetapi ketika saya datang ke Malaysia, saya tidak dibayar gaji enam bulan kerana kontrak saya tidak membenarkannya," kata Seo.
Selepas khidmatnya tidak lagi diperlukan, pemain berkenaan memilih untuk menyertai kelab divisyen bawahan Korea Selatan, FC Mokpo.
BACA LAGI: Memang ditakdirkan sama', stail terkini Seo Seo-nung mirip bintang EPL
Tangkap layar daripada hantaran Instastory Seo baru-baru ini.
Perpindahan itu pasti membolehkannya terus berkembang meskipun bakatnya sudah semakin bersinar sepanjang menyarung jersi skuad TBG pada 2023.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin pernah menyatakan pemain Korea Selatan yang berlatih dalam pasukan itu tidak mendatangkan kerugian walaupun sesen buat mereka.
Meskipun tidak dijelaskan mengenai gaji masing-masing, ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa import dari negara itu hadir atas kerelaan tersendiri dengan bayaran dibuat berdasarkan kontrak ditetapkan ejen.
Seo dalam pada masa sama turut berharap supaya masalah berkenaan tidak dihadapi rakan senegaranya yang beraksi dalam Liga Super tahun ini.
"Saya juga dapat tahu ramai mengalami isu sama kerana masing-masing ada datang dan mengadu kepada saya. Harapnya mereka (ejen) tidak lagi berbuat demikian pada masa akan datang," katanya.
Ketika ini, terdapat beberapa import dari Korea Selatan dengan Lee Tae-min kini beraksi bersama Perak FC dan beberapa yang lain milik Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Majoriti sudah cuba untuk menghubungi wakil dari Perak FC atas isu ini untuk mengetahui lebih lanjut akan kebajikan mereka ketika bersama pasukan Utara tanah air itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram