SEPANJANG kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, Kelantan merupakan antara negeri yang sentiasa panas dengan pelbagai isu membelenggu masyarakat di kawasan tersebut.
Daripada isu air, hingga tahap pembangunan yang ketinggalan berbanding negeri lain, kesemua perkara tersebut yang dianggarkan sudah berlarutan selama berpuluh tahun rancak dimainkan sepanjang tempoh berkempen sejak 29 Julai lalu.
Ekoran daripada itu, ramai pihak berpendapat bahawa pengundi di Kelantan seharusnya menjadikan isu tersebut sebagai asas dalam memandu mereka dalam membuat pilihan ketika membuang undi pada 12 Ogos ini.
Pengguna Twitter, ZacZakirin13 berkata, pengundi di negeri tersebut seharusnya berfikir semasaknya membuat keputusan memilih pemimpin dan parti yang mereka mahukan bagi mentadbir Kelantan untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Anak Kelantan, balik mengundi fikir masak-masak. Kita ada dua masalah utama yang masih belum diselesaikan lagi.
"Pertama kemudahan awam. Stesen bas serupa 1970-an lagi dan jalan utama KB-KL (Kota Bharu-Kuala Lumpur), nauzubillah.
"Kedua, kemudahan asas. Isu air ni berat sangat dah. Tahap kritikal. Demo (Mereka) sedap pakai air Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd)," ujarnya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.
Keadaan stesen bas utama di Kota Bharu, Kelantan yang dilihat agak ketinggalan zaman berbanding di negeri lain. — Bus Online Ticket
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, seramai 1,411,912 orang pengundi di negeri tersebut layak untuk menunaikan kewajipan masing-masing dalam PRN kali ini.
Untuk rekod, pentadbiran negeri Kelantan diterajui oleh PAS sejak 30 tahun bermula pada 1990 apabila parti itu berjaya merampas negeri tersebut daripada Barisan Nasional (BN) dalam PRU8.
Dalam menyentuh mengenai masalah bekalan air bersih, pimpinan Kelantan sering mendakwa bahawa isu tersebut gagal diselesaikan sehingga kini akibat pendirian Kerajaan Pusat yang menganaktirikan negeri tersebut termasuk dari segi peruntukan.
Bagaimanapun, dakwan itu disanggah oleh beberapa pimpinan utama kerajaan yang menyifatkan bahawa isu tersebut terus berlaku kerana kegagalan pihak pentadbiran negeri untuk menguruskan bekalan asas berkenaan.
Pada masa sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad pada 5 Ogos lalu turut tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) jika masalah tersebut gagal diselesaikan dan tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram