Kerajaan Kelantan sokong pelarasan tarif air, yakin mampu tingkatkan kualiti perkhidmatan


  • Primer
  • Khamis, 18 Jan 2024

Kerajaan Kelantan menyambut baik langkah pelarasan tarif air yang akan bermula pada 1 Februari nanti. — Gambar hiasan

LANGKAH pelarasan tarif air baru-baru ini disambut baik Kerajaan Kelantan yang menganggap ia tidak membebankan rakyat sebaliknya mampu meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna dengan lebih baik.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassurudin Daud berkata, perkara itu mampu membantu kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan ke arah peningkatan perkhidmatan air.

"Kita melihat kepada kesesuaian dan selaras di seluruh negara. Kajian juga menunjukkan dengan penyelarasan tarif ia tidak membebankan pengguna kerana kenaikan pada kadar tidak ketara.

BACA LAGI: Tarif air naik 22 sen semeter bermula 1 Februari

"Malah, setakat ini juga sudah jarang kita mendengar rungutan mengenai masalah air di negeri ini, jadi insya-ALLAH dengan langkah yang dibuat itu diharapkan dapat menyelesaikan masalah gangguan bekalan air," katanya menurut laporan media.

Terdahulu, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyambut baik langkah pelarasan tarif air domestik dengan kenaikan purata 22 sen setiap meter padu yang secara tidak langsung membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Pemangku Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail berkata, pelarasan tarif berkenaan dapat menambahkan pendapatan untuk digunakan bagi operasi dan kerja-kerja pembangunan infrastruktur, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan.

BACA LAGI: Kelantan keluarkan jenama beras sendiri 2024

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, ia bakal memberi kesan langsung terhadap kualiti perkhidmatan kepada pengguna termasuk menangani gangguan bekalan air.

Untuk rekod, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada Selasa mengumumkan pelarasan tarif air akan berkuat kuasa 1 Februari ini bagi membantu kerja-kerja pembangunan, naik taraf, baik pulih serta penyelenggaraan infrastruktur bekalan air dengan lebih lancar.

Pelarasan tarif air domestik itu membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram