BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
BENARLAH untung nasib jurulatih dalam Liga Super tiada sebarang kepastian bak kata perumpamaan untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Jika bernasib baik akan selamat, sebaliknya jika bernasib malang binasalah hingga kejayaan bersama pasukan sekalipun tidak mampu diyakini boleh menjadi insurans hayat.
Ambil contoh jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2023, Esteban Solari. Empat kejuaraan yang dihadiahkannya kepada skuad Harimau Selatan itu sekadar menjadi buah tangan perpisahan daripada jurulatih kelahiran Argentina itu yang tidak dilanjutkan kontrak dalam pada juara Liga Super 10 musim berturut-turut itu mahu berjimat-cermat dengan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30 hingga 40 peratus pada musim baharu.
Hector Bidoglio yang sebelum ni menjadi pengarah teknikal kelab dan penasihat pasukan utama sebaliknya akan kembali sebagai ketua jurulatih Harimau Selatan.
Namun, sebagai seorang profesional, Solari, 43, tentunya bersedia terhadap apa saja kemungkinan. Mungkin sudah untung nasibnya, perpisahan dengan JDT membuka jalan kepadanya dilantik jurulatih kelab Chile, Everton de Vina del Mar, mulai bulan lalu yang berdekatan dengan negara asalnya.
Jurulatih yang memiliki ‘resume’ pencapaian gemilang sepertinya lazimnya tidak akan menganggur terlalu lama dan ia harus sesuatu yang benar – sekalipun dengan kejayaan pada skala lebih kecil – membabitkan dua jurulatih tempatan, Azzmi Aziz dan P. Maniam.
Hector Bidoglio mengambil alih tugas Solari dalam mengemudi Harimau Selatan bagi musim 2024. — Instagram/Officialjohor
Negeri Sembilan FC pada Isnin dengan rasminya mengumumkan pelantikan Azzmi sebagai jurulatih skuad Rusa. Dia menggantikan K. Devan yang khidmatnya tidak dilanjutkan pada akhir musim 2023 selepas pasukan bimbingannya sekadar menduduki tangga kesembilan dalam carta liga.
Namun, ia bukan pengakhiran kepada kerjaya kejurulatihan Devan, 56, yang sah dilantik sebagai jurulatih pasukan Melaka FC bagi saingan Liga M3 musim 2024/25. Turun pangkat pun tak mengapa asalkan terus bergaji pada setiap akhir bulan.
Siapa yang tidak ingat Azzmi, jurulatih yang direhatkan PDRM FC pada pertengahan musim lalu di sebalik kejayaannya meniupkan nafas baharu dalam peningkatan skuad The Cops itu ke aras yang barangkali tidak pernah dimimpikan pegawai-pegawai pengurusannya melainkan mereka mahu terus bermimpi.
Di bawah bimbingannya, barisan Sang Saka Biru itu muncul pasukan paling mengejutkan musim lalu dengan menewaskan Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC untuk keluar dari status pasukan belasahan seperti sebelum ini.
Memberikan alasan penggantian jurulatih adalah sesuatu yang biasa – jurulatih datang dan pergi dan individu lebih tinggi dan hebat daripada pasukan PDRM FC itu sendiri seperti kata pengurus pasukan, Mohd Zafarollah Nordin – pihak pengurusan terus membisu terhadap sebab-sebab Azzmi disisihkan tapi ia diperjelaskan kemudian bahawa ia mungkin sebahagian 'hobi' mereka.
Di bawah kendalian Azzmi, The Cops mencipta sejarah apabila menewakan tiga pasukan besar tanah air iaitu KDA FC, Sabah FC dan Selangor FC. — Facebook/NSFC
Tiada pengurusan yang akan menukar jurulatih ketika pasukan sedang mendaki peningkatan tapi PDRM FC mungkin mahu memperkenalkan itu sebagai satu pendekatan baharu yang bagaimanapun tidak harus dicontohi pasukan-pasukan lain.
Mengapa? Selepas merehatkan Azzmi, The Cops menyerahkan tanggungjawab jurulatih sementara kepada Eddy Gapil yang tugasnya kemudian diteruskan Datuk Yunus Alif mulai 5 Ogos 2023.
Di sebalik Yunus mampu mengekalkan PDRM FC di tangga kelapan hingga penamat musim selain memenangi Piala Cabaran, khidmatnya tidak dilanjutkan untuk musim baharu – menepati hobi pengurusan kelab itu menukar jurulatih seperti menyalin baju.
Tapi itulah untung nasib seorang jurulatih hinggakan Maniam – kali terakhir mengemudi Petaling Jaya City (PJ City) FC dalam kancah Liga Super pada musim 2021 dan 2022 – disandarkan lebih kepercayaan untuk mengangkat PDRM FC ke tahap yang diimpikan pengurusannya.
Barangkali pelantikannya berasaskan kemampuan Maniam memacu PJ City FC masing-masing di tangga ketujuh dan kesembilan dalam Liga Super 2021 dan 2022 tanpa sebarang kelibat pemain import.
Ini tentunya berbeza dengan pengumuman pelantikan Miroslav Kuljanac dari Croatia sebagai jurulatih baharu Kuala Lumpur City (KL City) FC menggantikan Nenad Bacina yang telah meninggalkan pasukan. Tidak diketahui puncanya tapi ia mungkin ada kaitan dengan kelewatan KL City melunaskan tunggakan gaji pada penghujung musim lalu.
Miroslav Kuljanac tunjuk taring apabila membantu KL City muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan. — Facebook/KLCity
Apa pun, KL City tidak berasa sebarang kerugian kerana Kuljanac atau Kuljo adalah bekas pembantu jurulatih kepada Bojan Hodak yang mengambil langkah mengejut meninggalkan pasukan pada penghujung Julai tahun lalu untuk mengejar tawaran lebih lumayan daripada kelab Liga Indonesia, Persib Bandung.
“Kuljanac merupakan penolong jurulatih Bojan Hodak dan bertanggungjawab melatih pasukan secara interim semasa merekodkan kemenangan besar ke atas Kelantan FC dan Penang FC sebelum kepulangan Nenad Bacina pada musim lepas,” kata KL City dalam satu kenyataan.
Tumpuan pada musim baharu bermula bulan depan rasanya akan lebih kepada Nidzam Jamil di kerusi panas jurulatih Selangor FC, naib juara liga musim lalu yang akan berdepan tekanan hebat untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian itu di sebalik ketiadaan sebarang piala.
Di sebalik nama-nama seperti Alexandre 'Mano' Polking dan Park Hang-seo dilontarkan, Nidzam, 43, akhirnya menjadi pilihan untuk meneruskan legasi Tan Cheng Hoe, yang memilih untuk mengemudi Police Tero dalam Liga Thailand.
Harapan tinggi pasti diletakkan di bahu Nidzam, lebih-lebih lagi apabila Selangor FC akan berentap dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 2024/25.
Nidzam Jamil menggalas tugas berat dalam membawa Gergasi Merah meraih keputusan positif saingan Piala AFC 2.
BACA LAGI: [VIDEO] Angle kamera VAR satu sudut saja, ramai tak setuju kad merah Brendan Gan
Tanggungjawab itu bagaimanapun bukan asing baginya selepas pernah membimbing Felda United dari kedudukan bergelut ke tangga ke-10 Liga Super pada musim 2019 di samping menjadi penolong jurulatih skuad Gergasi Merah sejak 2021.
Bersama Selangor FC, itu bukan pun satu opsyen kerana Gergasi Merah itu hanya disasarkan untuk kelompok teratas, dan Nidzam tidak pun perlu diingatkan mengenainya.
"Sebagai jurulatih, pasti ada tekanan tersendiri. Di Selangor, tiada hari berlalu tanpa tekanan. Kami akan menelitinya setiap hari.
"Saya masih ingat ketika masih bergelar pemain, mendiang Ken Worden pernah mengatakan saya akan diturunkan setelah melakukan penilaian sepanjang minggu.
"Jadi, sebagai seorang jurulatih pula, saya juga pasti akan dinilai setiap hari. Ia adalah satu hal yang biasa, tetapi dengannya, saya tahu kami boleh pergi jauh," katanya.
Turut berkongsi perhatian sebagai jurulatih baharu ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menggantikan Manzoor Azwira Wahid bersama Penang FC dan Park Jaehong yang mengambil alih daripada Ailton Dos Santos Silva di Kelantan Darul Naim (KDN) FC.
Keseluruhannya, hanya enam jurulatih yang dikekalkan dari musim lalu untuk saingan musim 2024/25, dengan Datuk Ong Kim Swee yang paling lama mengemudi Sabah FC sejak 1 Oktober 2021 selain Nafuzi Zain (KDA FC), Fandi Ahmad (Sri Pahang FC), Tomislav Steinbruckner (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Perak FC) dan Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram