MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menggantung sementara perkhidmatan helikopter jenis Fennec dan helikopter operasi Maritim (HOM).
"Setakat ini tidak ke arah (gantung sementara) itu ” katanya secara ringkas selepas menyempurnakan program Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Dusun Tembakau, Manir, Terengganu pada Sabtu.
Khalid berkata demikian ketika ditanya jika terdapat keperluan untuk menggantung perkhidmatan kedua-dua jenis helikopter tersebut susulan nahas pada pagi Selasa yang membabitkan HOM-AW139 dan Fennec M502-6.
Kejadian yang berlaku di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM, termasuk tiga wanita.
BACA LAGI: Semua mangsa bawah 40 tahun — Khaled Nordin
Khaled mengesahkan bangkai helikopter terhempas sudah selesai dialihkan.
BACA LAGI: Sambutan ulang tahun TLDM ke-90 batal, digantikan dengan majlis tahlil — Khaled Nordin
Kesemua yang terkorban telah disemadikan dengan mangsa terakhir, Leftenan T Sivasutan, selamat menjalani upacara pembakaran di Sitiawan, Perak pada Khamis lepas.
Dalam pada itu, Khaled mengesahkan bangkai dua pesawat berkenaan termasuk kotak hitam telah pun dialihkan dari lokasi kejadian pada Khamis.
"Saya dimaklumkan semuanya telah dialihkan untuk ke tempat siasatan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan Lembaga Siasatan ditubuhkan TLDM itu akan turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia dan pakar-pakar lain termasuk pembuat helikopter.
Khaled juga tidak menolak kemungkinan proses itu akan melibatkan pakar dari luar negara sekiranya terdapat keperluan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram