[VIDEO] Isteri keeper JDT kongsi salah seorang mangsa nahas helikopter terhempas di Lumut ada tali persaudaraan


  • Podium
  • Selasa, 23 Apr 2024

Suami kepada sepupu Eyra Hazali antara yang terkorban dalam nahas dua helikopter terhempas di Lumut, Perak.

PELAKON wanita tanah air, Eyra Hazali berkongsi bahawa salah seorang mangsa yang nahas membabitkan dua helikopter terhempas selepas bertembung ketika membuat latihan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak pada Selasa merupakan ahli keluarganya.

Eyra yang juga merupakan isteri kepada penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Haziq Nadzli memaklumkan bahawa Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin merupakan suami kepada sepupunya.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Eyra menerusi laman Insta Story peribadinya pada Rabu sejurus selepas berita hiba mengejutkan rakyat Malaysia yang menyaksikan dua aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berkenaan berlanggar di ruang udara.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua helikopter bertembung sebelum terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

WhatsApp Image 2024-04-23 at 14.09.06

Tangkap layar hantaran daripada Insta Story Eyra.

“Al-Fatihah kepada semua yang terlibat dengan kemalangan helikopter. Salah seorang mangsa adalah suami kepada sepupu saya iaitu Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin.

"Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” kongsi Eyra di Insta Story.

Terdahulu, Majoriti melaporkan Pangkalan TLDM di Lumut, Perak pada Selasa digemparkan dengan kejadian helikopter terhempas.

BACA LAGI: [VIDEO] Saksi hiba nampak cebisan daging korban nahas 2 helikopter terhempas di Lumut

Nahas kemalangan udara yang meragut 10 mangsa itu melibatkan aset milik TUDM semasa menjalani Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90.

Angkatan Tentera Diraja Malaysia memaklumkan pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dengan tiga penumpang, manakala Fennec (M502-6) membawa tiga kru.

Helikopter HOM (M503-3) terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut," kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, TLDM menyatakan bahawa akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut berkenaan.

"Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.

“Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM. TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram