KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal RM10,000 kepada setiap waris 10 pegawai dan anggota yang terbabit tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pada Selasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sebagai meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.
Rangka helikopter di lokasi kejadian
"Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga menubuhkan Tabung Khas bagi memudah orang ramai untuk turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.
"Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu merakamkan ucapan takziah kepada waris-waris pegawai dan anggota TLDM atas tragedi itu.
"Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan 10 wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Mohamed Khaled, Lembaga Siasatan diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja, manakala laporan penuh perlu diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja.
TLDM pada Selasa mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
Sebelum ini, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri melaporkan, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.
Menurutnya, semasa kejadian semua kru terlibat mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram