[VIDEO] 'Mama pergi mana?', anak mangsa nahas TLDM cetus rasa hiba ketika pengebumian


  • Massa
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Upacara pengembumian Joanna membuatkan orang ramai sebak susulan pertanyaan anaknya. — Facebook/GhazaliBujang

"MAMA pergi mana?".

Itulah kata-kata menyayat hati Allesia Felice Haslie yang berusia empat tahun pada upacara pengebumian mendiang Laskar Kanan JJM, Joanna Felicia Rohna di Kampung Engkaroh, Tebakang, Serian, Sarawak pada Khamis.

Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah mendiang Joanna apabila anak perempuannya memanggil ibunya dengan sayu.

Mummy irak gepih (mama pergi ke mana)?," kata anak sulung mendiang Joanna dalam bahasa Bidayuh sebaik melihat keranda ibunya diusung sepasukan anggota Tentera Luat Diraja Malaysia (TLDM).

Suami mendiang Joanna, Bintara Muda TMK, Haslie Ali, 33, dilihat tidak dapat menahan air mata ketika dia memeluk anak perempuan mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] 10 maut 2 helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut

BACA LAGI: Perajurit wanita dari Sarawak antara korban nahas helikopter berlanggar di udara di Lumut

Joanna, yang juga mempunyai seorang anak lelaki, Hovannes Haslie, berusia setahun merupakan salah seorang daripada 10 anggota TLDM yang terkorban dalam nahas helikopter di Pangkalan TLDM, Lumut, Perak pada Selasa.

Jenazah dikebumikan di tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh pada pukul 11.00 pagi Khamis selepas upacara ringkas di tapak kubur itu.

Selain Joanna Felicia, enam lagi pegawai dan anggota TLDM yang terkorban dalam pesawat HOM (M503-3) ialah Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun, Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar.

Tiga lagi mangsa yang menaiki Fennec (M502-6) pula ialah Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Sivasutan Thanjappan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram