Peniaga didenda RM23,000, mohon maaf tulis komen jelik nahas helikopter Lumut


Satu ciapan berbaur kejian dibuat terhadap mangsa nahas helikopter di kem TLDM Lumut, Perak pada Selasa.

SEORANG peniaga dalam talian didenda RM23,000 di Mahkamah Sesyen Taiping selepas mengaku bersalah atas tuduhan memuat naik komen jelik mengenai korban nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut.

Muhammad Saifuddin Shafik, 36, dilaporkan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim pada Jumaat.

Tertuduh turut membuat permohonan maaf kepada anggota keluarga mangsa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seluruh rakyat Malaysia dan menyatakan kekesalannya kerana membuat hantaran itu.

Dia mengakui, hantaran berkenaan tidak wajar dilakukan oleh sesiapapun dalam keadaan tragedi seperti itu.

Muhammad Saifuddin turut memohon maaf kepada orang awam dan seluruh rakyat Malaysia yang terkesan dengan hantaran dibuat menerusi akaun laman X (Twitter) @ saishafik pada 23 April lalu.

BACA LAGI: Kertas siasatan komen jelik nahas helikopter TLDM dirujuk ke Pejabat Peguam Negara — Shuhaily

BACA LAGI: Kerajaan salur RM10,000 untuk waris pegawai, anggota TLDM terbabit nahas helikopter di Lumut

Dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pada Rabu, seorang pengadu membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial itu susulan mengeluarkan komen biadap berhubung kejadian nahas helikopter yang mengorbankan 10 mangsa.

Hantaran berbunyi: "Baru raptai dah mampus. Tak sempat nak pergi perang" itu seolah-olah tidak menghormati perasaan keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia yang sedang berduka.

Meskipun ciapan itu sudah ditarik balik pengguna tersebut, ia sempat ditangkap layar orang ramai yang kemudiannya mendesak tindakan tegas diambil terhadapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram