TINDAKAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan gerai di Jalan Lorong Muhibbah berhampiran Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur mendapat pujian warga maya.
Pasar yang menjadi lokasi tumpuan peniaga dan penjaja warga asing khususnya dari Indonesia itu mula dirobohkan secara berperingkat.
Seorang pengguna laman X (Twitter) dengan nama akaun @mhmmdhsm memuat naik satu video memaparkan suasana di sekitar Pasar Chow Kit selepas proses pembersihan dilakukan.
Individu itu mengakui kagum dengan usaha pihak penguatkuasa dalam memastikan kawasan tersebut bebas daripada peniaga warga asing.
"Habis dah roboh kedai di Chow Kit tepi ini, habis dah kedai Indonesia tepi ni lenyap. (Selama) 30 tahun aku hidup pertama kali (lihat) ini, dulu tidak ada yang berani langgar (robohkan)," ciapnya pada Khamis.
Habis dah roboh kedai2 kat chowkit tepi ni, habis dah kedai2 indon tepi ni lenyap. 30 tahun aku hidup first time ni dulu xde berani langgar pic.twitter.com/yl8afecqWb
— mhmmdhsm (@mhmmdhsm) April 25, 2024
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut tertiarap depan bilik tidur dipercayai dibunuh, polis siasat motif
Warga maya dalam pada itu turut memuji kecekapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Menurut @SyedAkramin, bekas Menteri Kesihatan itu dianggap sebagai seorang pemimpin wanita yang berani mengambil tindakan tegas dalam menyelesaikan isu yang berlanjutan sekian lama.
"Cantik dan bersih sikit nampaknya Chow Kit ini. Tapi hairan selama berpuluh tahun kedai haram tersebut di sana, (mengapa) tidak ada yang berani ambil tindakan?
"Terukan usaha membersihkan Kuala Lumpur Dr Zaliha," katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna laman X, @Bardhussain turut berharap agar peniaga warga asing yang menguasai perniagaan barangan asas turut diambil tindakan sewajarnya.
"Alhamdulillah dan terima kasih Dr Zaliha, teruskan usaha gigih bersihkan Kuala Lumpur daripada kedai-kedai haram terutamanya warga asing. Jangan juga alpa bahawa perniagaan daging, ayam dan beras khasnya di Chow Kit dikuasai rantaian warga asing," tulisnya.
Untuk rekod, projek pembangunan semula Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit kini sedang menunjukkan kemajuan.
Peniaga akan boleh mula menggunakan kemudahan tersebut setelah semua keperluan dan kelulusan diselesaikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram