[VIDEO] Pemandu lori tersepit nahas 5 kenderaan di Sepang


  • 112
  • Khamis, 25 Apr 2024

Kemalangan di Jalan Salak Tinggi menghala Sepang pada Khamis membabitkan sebuah lori 13 tan, treler yang membawa muatan tanah dan tiga kenderaan lain.

SEORANG pemandu lori dilaporkan tersepit sementara seorang lelaki mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam nahas lima kenderaan di Jalan Salak Tinggi menghala Sepang, Selangor pada Khamis.

Kemalangan itu membabitkan sebuah lori 13 tan, treler yang membawa muatan tanah dan tiga kenderaan lain.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 10.29 pagi.

Menurutnya, seramai 13 anggota bersama dua jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat merompak, suspek tertiarap kena cekup polis depan pintu

BACA LAGI: [VIDEO] Tengkorak budak 9 tahun retak kena serang warga emas ketika berbasikal ke rumah

"Antara kenderaan terlibat termasuk sebuah lori membawa muatan tanah yang terbabas ke bawah jejambat hingga terbalik.

"Keadaan itu menyebabkan seorang lelaki berumur 50 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kaki berjaya dikeluarkan anggota bomba kira-kira pukul 11.28 pagi," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Jelasnya lagi, seorang lagi mangsa berusia lingkungan 40-an yang cedera ringan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof turut mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu agar menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Sepang untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram