[VIDEO] Tak tahan dengar bunyi bising pasangan kekasih bergaduh, pemandu ditahan lepas nekad rempuh kereta


  • 112
  • Jumaat, 26 Apr 2024

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki merempuh kenderaan di kawasan parkir sebuah kondominium akibat terlalu berang dengan bunyi bising yang dicetuskan sepasang kekasih.

SEORANG lelaki bertindak merempuh kenderaan di kawasan parkir sebuah kondominium di ibu negara akibat terlalu berang dengan bunyi bising yang dicetuskan sepasang kekasih.

Kejadian itu bagaimanapun sempat dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dimuat naik di media sosial pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, seorang lelaki berusia 40 tahun membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati, dalam insiden pukul 2.15 petang pada Isnin lalu, pengadu dan teman wanitanya bertengkar di dalam rumah dan mengeluarkan bunyi bising.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut tertiarap depan bilik tidur dipercayai dibunuh, polis siasat motif

BACA LAGI: [VIDEO] Tengkorak budak 9 tahun retak kena serang warga emas ketika berbasikal ke rumah

"Seorang lelaki yang juga rakan kepada penyewa lain di dalam rumah sama berang dengan pertengkaran tersebut hingga tercetusnya salah faham.

"Kejadian berlarutan di kawasan parkir apabila suspek bertindak memandu kenderaannya dan sengaja melanggar kereta pengadu.

"Ini menyebabkan kereta pengadu mengalami kerosakan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Susulan itu jelasnya, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan suspek kira-kira pukul 6.15 petang pada Rabu lalu.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah sejak 2014 dan masih dikehendaki berhubung siasatan kes jenayah di Cheras.

"Suspek kini direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram