SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan agenda pemantapan tatakelola dan penginstitusian integriti menjadi asas utama dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, isu-isu tatakelola meliputi pelbagai perkara, bukan sahaja integriti, penyelewangan atau rasuah.
"Ia termasuk isu kelemahan tatakelola dalam pentadbiran seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Dalam suruhanjaya ini, kita boleh menganggap sektor operasi atau siasatan kes jenayah rasuah itu merupakan bread and butter SPRM.
"Namun begitu dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara menerusi operasi pemulihan aset dan sebagainya, kita juga akan memastikan agenda pemantapan tatakelola serta penginstitusian integriti menjadi asas utama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM 2023 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Jumaat.
Azam ketika berucap sempena Majlis Malam Anugerah Media SPRM 2023.
BACA LAGI: Senarai lengkap identiti 10 perwira korban nahas helikopter TLDM
Azam turut memaklumkan, Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM terus menerajui enam fungsi utama dalam mengambil alih peranan Pusat Governans, Intergriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sebelum ini.
Jelasnya, BPGN berperanan menasihati kerajaan dan melaporkan perkembangan NACS kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri.
"Pembangunan NACS melibatkan tindakan penyelarasan input dan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh bagi menggariskan hala tuju dan komitmen negara untuk tempoh lima tahun bermula 2024 hingga 2028," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai peranan media, beliau berkata, media perlu mengelakkan laporan yang berat sebelah atau bersifat manipulasi terhadap sesuatu isu.
Beliau berkata, ia kerana nilai sebuah berita sama ada media konvensional atau digital adalah terletak pada kualiti serta kredibiliti laporannya dan bukan pada sensasi semata-mata.
"Ketika ini, media arus perdana masih merupakan sumber utama dan perlu diyakini berbanding media sosial.
"Ini kerana kelompok media arus perdana terdiri daripada kumpulan pengamal media yang profesional, terlatih, berlesen dan berautoriti.
"Jadi penyampaian berita yang dihasilkan itu berpandukan kepada sumber yang sahih," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram