PROSES bedah siasat ke atas 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak pada Selasa selesai dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak pukul 2.20 petang Rabu.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur berkata, mayat mangsa yang beragama Islam akan dibawa ke Kem Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh, untuk solat jenazah.
"Sementara jenazah mendiang Leftenan Sivasutan Thanjappan akan dibawa ke kediamannya di Setiawan, Perak sebelum dikebumikan pada Khamis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: Senarai lengkap identiti 10 perwira korban nahas helikopter TLDM
10 mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut. — Ihsan ATM
BACA LAGI: Sedekahkan al-Fatihah buat semua mangsa terkorban — Rakan
Menurutnya, jenazah mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia anak Rohna pula akan dibawa pulang ke Serian, Sarawak untuk disemadikan menggunakan pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Jelasnya lagi, istiadat penghormatan terakhir buat semua wira TLDM yang terkorban akan dilaksanakan mengikut tradisi tentera laut di setiap lokasi pengebumian yang dipersetujui waris.
"Pihak pengurusan tertinggi TLDM yang dilantik sudah menghubungi waris mangsa melalui unit masing-masing mengenai kejadian ini.
"TLDM akan terus memberi sokongan dari segi bantuan pengurusan jenazah dan sebarang keperluan daripada pihak waris sebaik mungkin," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan Pangkalan TLDM di Lumut, Perak pada Selasa digemparkan dengan insiden helikopter terhempas setelah bertembung di udara.
Nahas kemalangan udara yang meragut 10 mangsa itu melibatkan aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa menjalani latihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram