Norjuma didakwa di 4 Mahkamah Majistret berbeza atas 5 pertuduhan cederakan individu, lakukan khianat


Norjuma didakwa di empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.

BEKAS personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed didakwa di empat Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, pada Khamis atas lima pertuduhan iaitu mencederakan tiga individu dan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Norjuma, 44, yang mengenakan skirt hitam, baju serta bertudung putih mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Noor Elynna Hanim Abdul Halim, Amira Abd Aziz, Illi Marisqa Khalizan dan Fatin Dayana Jalil.

Mengikut tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, Norjuma didakwa mencederakan seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram dengan menendangnya di bahagian betis kiri di sebuah pusat tuisyen di Bukit Damansara.

Kejadian berlaku pada pukul 3 petang, 29 Mac 2018.

BACA LAGI: SPRM tidak beri tumpuan isu pentadbiran FAM, hanya siasat projek NTC

Di satu lagi Mahkamah Majistret, Norjuma didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang, pada 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Norjuma juga didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 10.30 pagi, 18 Oktober 2021.

Kesemua pertuduhan mendatangkan cedera, Norjuma didakwa mengikut Sesyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sementara itu Norjuma turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar masuk dan kamera litar tertutup (CCTV) milik sebuah kondominium di lorong Ampang 2 Taman U-Thant pada 7.44 malam, 28 Julai 2023.

BACA LAGI: Tembak KLIA: Saya perlukan 7 peguam, kata suspek lepas direman seminggu bermula Selasa

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Dia dibenarkan diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam Izzat Amir.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. — The Star/ NUR BAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram