MB Perlis akui kelemahan diri, serah siasatan kes anak kepada SPRM


  • Primer
  • Khamis, 25 Apr 2024

Shukri mengakui kesilapannya kerana terlalu mudah meletakkan kepercayaan terhadap orang lain.

MENTERI Besar Perlis, Shukri Ramli menjelaskan dirinya tidak berasa sangsi terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika anaknya terbukti bersalah berkait siasatan dakwaan tuntutan palsu RM600,000.

Katanya seperti dilaporkan media, apa berlaku kepada dirinya dianggap 'ujian' selain mengakui kelemahannya kerana 'terlalu baik' serta meletakkan kepercayaan kepada semua orang.

“Maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu, termasuk juga pegawai saya yang mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar.

“Namun, apa pun saya tidak ada rasa gundah gulana dan saya juga tidak ada sebarang prasangka terhadap SPRM sehingga habis siasatan mereka,” katanya dalam sesi Dewan Undangan Negeri di Kangar, Perlis pada Khamis.

BACA LAGI: SPRM tidak beri tumpuan isu pentadbiran FAM, hanya siasat projek NTC

WhatsApp Image 2024-04-24 at 13.09.33

Anak kepada Menteri Besar Perlis itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan.

BACA LAGI: MB Perlis tahu anak ditahan, serah kepada SPRM untuk siasat

SPRM pada hari sama turut melanjutkan tahanan reman terhadap anak lelakinya sehingga Jumaat bersama empat lagi individu yang terbabit dalam kes sama.

Manakala, seorang penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berusia 20-an yang direman sebelum ini, dibebaskan setelah siasatan terhadapnya selesai.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang itu juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berkaitan siasatan yang dijalankan berhubung kes tuntutan palsu tersebut.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa pejabat saya buka 25 jam (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram