DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor sememangnya antara figura 'popular' di media sosial khususnya TikTok berikutan Menteri Besar Kedah itu pernah memuat naik rakaman dirinya menyanyi sama ada secara siaran langsung mahupun di acara tertentu.
Terbaharu, tingkah lakunya mempersembahkan lagu bertemakan hari raya dalam sebuah program di Kedah mendapat teguran daripada seorang pendakwah bebas.
Pencetus Ummah (PU), Syed Mohd Bakri Syed Ishak menyifatkan tindakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyanyi di atas pentas dengan berlatarbelakangkan sekumpulan kanak-kanak perempuan menari sebagai contoh yang tidak wajar.
Difahamkan, klip tersebut dirakam semasa majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) baru-baru ini.
"Wahai DS (Datuk Seri) MB (Menteri Besar), cukup-cukuplah menyanyi, banyak perkara lain yang boleh dibuat selain menyanyi.
"Kali ini video yang tersebar disertakan tarian di belakang MB, ia sangat tak bagus!
"Ambe (Saya) sangat tidak setuju pemimpin PAS menunjukkan contoh sebegini kepada khalayak ramai atas alasan berhibur dan menghiburkan," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.
BACA LAGI: Sanusi penakut, pandai cakap belakang sahaja — Isham Jalil
PU Syed mempersoalkan sama ada pemimpin parti berkenaan berhasrat untuk membuat pembaharuan, namun dalam masa sama menyalahi kepimpinan ulama.
Beliau turut menyarankan agar ulama di Kedah khasnya supaya bertegas dan menegur menteri besar itu supaya lebih berhati-hati agar isu berkenaan tidak akan dijadikan sebagai bahan politik pihak lawan.
"Tolong tegur secara tegas terhadap MB kesayangan rakyat Kedah ini agar lebih berhati-hati agar tdak menjadi 'bola tanggung' kepada lawan.
"Tegur tanda sayang, tapi kalau kerap sangat ditegur tapi masih tak dengar, saya harap digantikan menteri besar yang baharu bagi menggantikannya.
"Jagalah himmah sebagai pemimpin gerakan Islam," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram