BARU-baru ini, tular satu video memaparkan kereta baharu dinaiki oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menerusi klip berkenaan, pemimpin itu dilihat menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai Palisade dengan nombor pendaftaran KCX8 yang harganya dikatakan hampir mencecah RM400,000.
Video tular itu ternyata menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan segelintir netizen yang mempersoalkan kewajaran pembelian kereta mewah berkenaan.
Ia lebih-lebih lagi ketika rakyat pada waktu ini berdepan dengan tekanan kos sara hidup.
Situasi itu diburukkan lagi apabila pentadbiran negeri Kedah turut berdepan dengan isu pembayaran gaji melibatkan sebuah syarikat berkaitan dengan milik kerajaan negeri.
Mengulas mengenai isu tersebut, Sanusi berkata, keputusan membeli kereta baharu bagi kegunaan rasmi Menteri Besar Kedah itu dibuat atas keperluan menggantikan kenderaan lama yang rosak.
Ujarnya, kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta jenama Mercedes-Benz yang digunakan sebelum ini didapati terlalu tinggi menyebabkan ia tidak lagi berbaloi digunakan.
BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih
Jelas beliau, kerajaan negeri juga tidak pernah membeli kereta untuk kegunaan menteri besar sejak Mei 2020 dan beliau hanya memakai kereta yang dibeli menteri besar terdahulu.
"Kedua-dua (buah) Mercedes-Benz (lama) itu pernah rosak tengah jalan, kadang-kadang senget sebelah, kadang-kadang terangkat sebab masalah suspensi.
"Jadi Mercedes ini bila sampai satu peringkat penggunaannya sudah tidak ekonomi lagi, tapi kita baiki juga sebab nampak macam masih elok dan setiap kali baiki kena sampai RM50,000.
"Kereta baharu (yang dibeli itu pun) bukan kereta mewah, biasa-biasa saja... kalau saya nak beli sendiri pun saya ada duit, dua buah boleh beli," katanya seperti dipetik daripada laporan BH Online pada Ahad.
Tambah Muhammad Sanusi, pemilihan jenis kenderaan tersebut juga dibuat berdasarkan keperluan kerana ia lebih lasak dan sesuai digunakan olehnya yang melakukan perjalanan puluhan ribu kilometer sebulan.
Dalam pada itu, di ruangan komen, sesetengah warganet dilihat dapat menerima penjelasan dikemukakan Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.
Malah mereka juga berpendapat bahawa perkara berkenaan sepatutnya tidak dimainkan untuk kepentingan politik kerana terdapat pelbagai lagi isu lain yang lebih penting.
"Kalau kereta lama kira dah melingkup, elok la MB beli yang baru pun tak jadi isu pun," ujar Aziz Sidam AS.
"Berpolitik main isu kereta ini politik tadika atau yang tak pernah pergi sekolah. Rakyat tengah sukar mencari beras tempatan di pasaran selain dijerut harga barang semakin mencanak mahal, tapi dia pergi main isu politik kereta," tulis Hanisya Abd Hamid.
Dalam pada itu, terdapat juga warganet yang berpandangan bahawa Sanusi atau secara umumnya pemimpin PAS seharusnya mencari cara untuk membuat penjimatan khususnya dalam pembelian kereta.
Ujarnya, ini kerana pemimpin daripada parti itu sering kali terpalit dengan isu membeli kereta mewah.
Kenderaan lama yang digunakan Menteri Besar Kedah.
Malah, mereka juga memberikan cadangan supaya pemimpin PAS terutamanya Sanusi sebagai untuk membeli kereta nasional untuk tujuan pentadbiran.
"Nak jimat memang lebih dari boleh, beli je model kereta Perodua, kalau rosak dalam masa 5 tahun pun warantikan ada. Jadikan ianya polisi baru kerajaan Kedah untuk beli hanya kereta nasional.
"Harga baru RM70,000 hingga RM80,000, boleh beli dua biji dan boleh rotate pemakaiannya berbanding Hyundai Palisade yang dekat RM400,000 sebuah.
"Cuba bayangkan duit jimat beli kereta tu boleh buat belanja makan berapa keluarga miskin selama berapa tahun tu...Kenapa Pemimpin PAS tak boleh dipisahkan dengan isu kereta mahal ni ek?
"Sebelum ni selalu dikaitkan dengan pakai kereta Toyota Alphard. Tak faham betul. Pemimpin besar parti lain nak kereta besar, ikut suka mereka nak riak, bangga diri, rasa popular.
"Pemimpin PAS tak payah ikut. Please grow up la pemimpin PAS terutama yang BBNU," ujar Pakcik Albab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram