AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil dilihat mengulas kembali isu dakwaan fitnah yang dilontarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 2022.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial baru-baru ini, Isham Jalil dilihat tidak gemar dengan sikap Sanusi yang dikatakan selalu bergaduh untuk meraih perhatian ramai.
Dalam video yang dimuat naik di Twitter (X) oleh @suaraofrakyat pada Ahad, Isham menyatakan bahawa Sanusi sememangnya suka mencari gaduh dan menganggapnya sebagai seorang yang penakut.
Mengimbau kembali isu fitnah yang didakwa oleh Sanusi, Isham mendakwa, kes melibatkan dokumen PAS Leaks yang sudah lama berlaku itu masih belum selesai.
"Kes dia dengan saya berkenaan PASLeak di mana dia fitnah saya melakukan jenayah pun belum selesai lagi.
"Ingat dulu, dia panggil saya macam-macam, tidak pasal-pasal dia buat sidang media di pejabat Menteri Besar Kedah.
"Dan tiba-tiba petik nama saya, Isham Jalil ni penyebab yang buat PASLeak dia kata, selepas itu dia panggil saya dengan pelbagai nama binatang, anak seluanglah, sebab konon-kononnya dia nak cakap saya ni orang kecil lah," katanya dalam video itu.
Bukan itu sahaja, Isham turut menjelaskan tentang nasib yang bakal menimpa Sanusi jika disabitkan kesalahan terhadapa kes berkenaan.
"Jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara dua tahun dan dia memang penakut, dahulu polis panggil datang balai berkenaan ini pun dia tidak mahu datang. Saya ajak dia pergi mahkamah, dia tutup komen di Facebook.
"Saya ingat dahulu, pertama dia cari gaduh dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan selepas itu TMJ tidak layan dia, dia cari gaduh dengan saya pula, jadi saya rasa dia ini jenis suka cari perhatianlah rasanya," dakwanya lagi.
Kata Isham, Sanusi juga bertindak untuk berdiam diri selepas daripada kes berkenaan kerana gusar tidak akan dapat memegang jawatan sebagai Menteri Besar ketika ini.
"Polis kata kepada saya, kes ini masih berlangsung dan jika Sanusi dikenakan tindakan dan masuk penjara dua tahun, dia tidak boleh jadi Menteri Besar dah.
"Inilah dia Sanusi, selepas polis siasat dia berkenaan kenyataan dia, dia takut sebab dia buat fitnah jenayah pada saya sebab PASLeak itu adalah dokumen palsu, jadi bila dia buat kenyataan terbuka, dia menuduh saya melakukan jenayah," dakwanya.
Sebelum ini pada 2022, Sanusi memuat naik satu hantaran yang berbaur fitnah terhadap Isham berkenaan dengan dakwaan dokumen PASLeak serta menggelarkan Isham sebagai 'anak seluang'.
Bagaimanapun, Sanusi bertindak enggan memohon maaf walaupun selepas diberikan tempoh selama 48 jam untuk menarik kembali tuduhan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram