SELEPAS bercuti lama bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, nampaknya sudah ramai usahawan yang membuka semula perniagaan mereka.
Tapi pastinya bukan mudah untuk keluar daripada suasana atau mood raya bukan?
Lebih-lebih lagi, kebanyakan peniaga dilihat berjaya mengaut keuntungan besar-besaran terutamanya semasa bulan Ramadan dan musim perayaan.
Mengulas lanjut mengenai situasi itu, pakar dalam bidang perniagaan, Abdul Basit Abdul Rahim berpandangan, strategi dan sasaran baharu harus diatur agar perjalanan jualan sesebuah perniagaan tetap berjalan seperti yang dirancang walaupun selepas raya.
"Maklumlah Ramadan sudah jana jualan kaw-kaw, jadi kita pun ingatkan jualan selepas raya mesti gempak juga.
"(Namun adakah anda) yakin segala keuntungan itu boleh kekal tanpa wujud sebarang masalah?" soalnya.
Menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau, Pengerusi Syarikat Byond Group itu menyenaraikan lima kesilapan yang cenderung dilakukan pemilik perniagaan hingga berisiko menjejaskan jualan mereka selepas raya:
BACA LAGI: Cabaran bisnes 2024 bukanlah ekonomi, sebaliknya pekerja tidak berdisiplin
BACA LAGI: Peniaga kecil desak haramkan TikTok seperti Indonesia, bimbang senasib pemandu teksi
1. Lambat mula pemasaran
Strategi pemasaran anda sepatutnya sudah difikirkan lebih awal.
Jika anda mengambil masa yang lama, atau bahasa mudahnya, tunggu kena ketuk baru nak jalan, tidak mustahil anda terlepas masa yang sesuai untuk merancakkan bisnes selepas raya.
2. Selesa dengan jualan Ramadan
Jangan terlalu selesa dengan bisnes anda walaupun jualan ketika Ramadan boleh dikatakan masyuk.
Meskipun memperoleh keuntungan yang lumayan semasa berniaga pada bulan puasa, bukankah perniagaan ada pasang dan juga surutnya? Jadi jangan terlalu selesa.
Abdul Basit
3. Tiada perancangan selepas habis raya
Seeloknya anda mempunyai pelan bisnes yang teliti termasuklah menyediakan perancangan strategik selepas habis lebaran.
4. Fokus pada produk yang laris waktu raya sahaja
Jangan terlalu fokus menjual produk yang hanya laris pada waktu raya sahaja.
Bayangkan, anda sudah memesan banyak stok namun tak habis terjual, bukankah ia lebih merugikan?
Pemilik perniagaan sepatutnya mengatur strategi pemasaran sejak lebih awal.
5. Gagal follow up dengan pelanggan
Jangan sesekali tidak mempedulikan kuasa membuat susulan atau follow up dengan pelanggan.
Paling mudah, hantarlah ucapan hari raya diselitkan dengan tawaran-tawaran menarik selepas raya.
Siapa tahu, usaha sekecil itu sebenarnya boleh mengubah persepsi pelanggan terhadap anda sekali gus membantu jualan bisnes selepas musim raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram