Buntu hendak ke mana, gadis bawah umur hilang bersama teman lelaki ditemui selamat di TBS


  • 112
  • Isnin, 22 Apr 2024

Nur Dania Safia dilaporkan hilang selepas meminta izin untuk keluar mandi di Bukit Merah Laketown Resort, Semanggol, Perak pada Sabtu.

REMAJA perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang selepas meminta izin bapanya untuk mandi di Bukit Merah Laketown Resort, Perak akhirnya ditemui dalam keadaan selamat pada Ahad.

Bapa kepada remaja berkenaan, Husin Saari, 54, memaklumkan, polis berjaya mengesan anak kedua dari empat beradik itu di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bersama seorang lagi rakan lelakinya berumur 15 tahun kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Alhamdulillah, pihak polis Daerah Kerian dengan kerjasama anggota polis di ibu kota berjaya mengesan lokasi mereka.

"Mereka berdua buntu dan tidak tahu hendak ke mana selepas sampai di sana.

"Anak saya, Nur Dania Safia Husin kemudian menghubungi ibu saudaranya, manakala budak lelaki itu pula dipujuk bapa saudaranya (supaya pulang ke rumah).

"Sementara menunggu kami tiba, mereka dijaga abang ipar saya yang merupakan salah seorang anggota polis bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Gadis bawah umur hilang bersama teman lelaki, tidak pulang rumah lepas minta izin mandi di Bukit Merah

Kedua-dua remaja itu ditemui dalam keadaan selamat di TBS pada Ahad. — Gambar hiasan

BACA LAGI: 'Dia mahu buat kejutan anniversary', ibu rayu bantuan orang ramai cari anak hilang sejak 12 Mac lalu

Husin berkata, sejak pertemuan di Bukit Merah Laketown Resort, kedua-dua remaja tersebut sebenarnya tidak mempunyai sebarang perancangan atau destinasi yang hendak dituju.

Jelasnya, mereka akhirnya memutuskan untuk bergerak ke Kuala Lumpur secara rambang sahaja.

"Setelah tiba di TBS, kedua-duanya buntu lalu menghubungi ibu saudara masing-masing dan memaklumkan keberadaan mereka," ujar pemandu lori itu.

Majoriti pada Ahad melaporkan, seorang bapa di Semanggol, Perak meluahkan kesedihannya selepas mendapat tahu anak perempuannya dilaporkan hilang sejak Sabtu.

Kali terakhir dia bercakap dengan anaknya itu adalah pada pukul 1.30 petang.

Husin berkata, setelah disoal siasat pihak polis, rakan kepada Nur Dania Safia yang menghantarnya ke pusat rekreasi tersebut memberitahu bahawa remaja berkenaan berjanji untuk berjumpa rakan lelakinya di sana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram