[VIDEO] Sudahlah tak cukup baki TnG RM1.50, pemandu Honda Accord selamba maki, hina jurutol DUKE


  • Tular
  • Isnin, 22 Apr 2024

Tangkap layar memaparkan seorang lelaki bertindak merendah-rendahkan pekerjaan seorang jurutol yang dipercayai bertugas di DUKE baru-baru ini.

TINDAKAN seorang lelaki menghina dan merendah-rendahkan pekerjaan seorang jurutol yang bertugas di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) menimbulkan kecaman dalam kalangan warga maya.

Beberapa rakaman dan gambar kejadian dimuat naik menerusi ciapan seorang pengguna laman X (Twitter) dengan nama akaun @AzfaMierul pada Selasa.

Difahamkan, kejadian malang itu menimpa adik kepada pengendali akaun tersebut.

Berdasarkan info awal, insiden bermula apabila baki nilai Touch 'n Go (TnG) pemandu jenis kenderaan Honda Accord berkenaan kurang dalam anggaran RM1.50 sewaktu melalui tol DUKE.

Menerusi rakaman perbualan di aplikasi WhatsApp, lelaki itu dikatakan terpaksa menambah nilai TnG miliknya menggunakan wang tunai selepas mengaku tidak membawa bersama kad bank dan juga kad pengenalan.

"Semasa saya nak ambil wang tunai itu, dia maki dan pertikaikan pekerjaan saya.

"Saya tidak membalas kerana prosedur kerja di sini tidak membenarkan kami memberi respons kepada pengguna, jadi saya diam sahaja.

"Dia (kemudian) memaki saya dan menyatakan saya makan gaji buta, cakap saya ini bodoh dan menyusahkan orang.

"Selepas saya keluarkan telefon pintar (untuk merakam) barulah dia memperlahankan suaranya," katanya.

BACA LAGI: Gadis bawah umur hilang bersama teman lelaki, tidak pulang rumah lepas minta izin mandi di Bukit Merah

BACA LAGI: Buntu hendak ke mana, gadis bawah umur hilang bersama teman lelaki ditemui selamat di TBS

Sementara itu, berdasarkan klip berdurasi lapan saat yang dikongsikan, lelaki itu turut mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina taraf pendidikan jurutol tersebut.

"Nak aku lempang muka kau? Aku hari-hari lempang muka orang tahu? Menyusahkan orang saja kau ini.

"Sebab kau bodohlah kau kerja tol, buka buka (palang). Kalau pandai kau tak kerja tol lah," marahnya.

Bertindak atas video tular itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun X miliknya segera memberi respons berhubung kejadian tersebut.

"Salam sejahtera, mangsa diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membuat laporan agar tindakan selanjutnya dapat diambil," ciapnya di ruangan komen.

DUKE bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram