Suspek serang jururawat serah diri di IPD Kuala Pilah


  • 112
  • Isnin, 22 Apr 2024

Seorang jururawat wanita ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi, Johol, Negeri Sembilan pada Jumaat malam.

SUSPEK terlibat dalam kes jururawat wanita ditemui tidak sedarkan diri di Johol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan ditahan pada Ahad bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 34 tahun tersebut ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah selepas hadir dan menyerah diri, kira-kira pukul 4 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Gani dilaporkan berkata, permohonan reman terhadap suspek sudah dibuat di Mahkamah Majistret, pagi Isnin dan suspek direman selama empat hari bermula hari yang sama.

BACA LAGI: Ditemui terbaring tak sedarkan diri, polis Kuala Pilah sahkan jururawat mengaku dipukul, bukan dirompak

BACA LAGI: Gadis bawah umur hilang bersama teman lelaki, tidak pulang rumah lepas minta izin mandi di Bukit Merah

"Seorang lelaki ditahan di IPD bagi membantu siasatan berkaitan kes jururawat wanita yang ditarik dari keretanya sebelum dipukul sehingga separuh sedar Jumaat lalu," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata atau cara berbahaya.

Jelas Amran, kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau sebat, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan termasuk hubungan suspek dengan wanita berkenaan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan berkenaan pembabitan suspek dalam kes ini," katanya.

Majoriti sebelum ini melaporkan seorang jururawat wanita lengkap beruniform ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi Jalan Simpang Tiga Dangi pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa yang berusia 30-an ditemui tertiarap dan kasut tertanggal di luar keretanya dengan enjin masih hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram