Kupang Port Dickson masih bertoksin, belum selamat untuk dimakan


  • Primer
  • Selasa, 23 Apr 2024

Kupang di PD masih dicemari biotoksin yang tidak selamat dimakan orang ramai. — Gambar hiasan

LARANGAN terhadap pengambilan kerang-kerangan (dwicangkerang) yang terdapat di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih lagi berkuat kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ia disebabkan sampel ketiga air dan kupang dari perairan berkenaan yang dianalisis Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur (PBPKL) didapati masih mengandungi biotoksin melebihi kadar selamat untuk dimakan.

"Keputusan sampel keempat kupang dan air di perairan Port Dickson dijangka diketahui pada 26 April nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan analisis terhadap sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin berbahaya.

Jelas Jalaluddin, terdapat alga daripada spesies prorocentrum, alexandrium dan pseudonitzschia melebihi kadar piawaian standard yang ditetapkan iaitu 800 per bilion (ppb) dan tidak selamat untuk dimakan.

BACA LAGI: Jabatan Perikanan sahkan kupang di PD tak selamat dimakan

DOF mengesahkan analisis terhadap sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin berbahaya.

BACA LAGI: [VIDEO] Tentera simpanan Israel terima padah ketika cuba cabut bendera Palestin

"Rentetan itu, DOF Negeri Sembilan meneruskan pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) jabatan.

"Ia termasuklah melalui Program Sanitasi Kerang-Kerangan Kebangsaan yang melibatkan sampel kerang-kerangan ternakan dan liar," ujarnya lagi.

Tambahnya, DOF Negeri Sembilan akan terus melakukan analisis dari semasa ke semasa melalui ambilan sampel kupang dan air di perairan Port Dickson.

"Kerajaan Negeri Sembilan ingin menasihati pengguna untuk terus mematuhi perintah larangan yang dikuatkuasakan sehingga analisis makmal mendapati pengambilan dwicangkerang selamat untuk digunakan," kata beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram