[VIDEO] Dendam bertahun-tahun lama, punca jiran simbah lelaki Sindrome Down air panas di George Town


  • 112
  • Isnin, 22 Apr 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita menyimbah air panas ke arah lelaki OKU dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada Jumaat lalu.

DENDAM lama dipercayai menjadi punca seorang wanita menyimbah lelaki orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down dengan air panas dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas dekat George Town, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham beberapa tahun lalu antara suspek berusia 39 tahun dan mangsa.

"Siasatan masih diteruskan tetapi kami dapati ada beberapa insiden pertengkaran antara mereka beberapa tahun lalu," katanya pada Isnin selepas majlis penyerahan tugas Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu di ibu pejabat polis negeri.

Jelas beliau lagi, kedua-dua mangsa dan suspek saling mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di bangunan yang sama.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU melecur seluruh badan, jiran simbah air panas di Bayan Lepas

BACA LAGI: Peniaga kecil desak haramkan TikTok seperti Indonesia, bimbang senasib pemandu teksi

Beliau berkata, setakat ini, polis tidak percaya suspek mempunyai masalah kesihatan mental, tetapi mungkin akan meminta mahkamah mengarahkan pemeriksaan lanjut terhadap wanita itu.

Beliau berkata, tiga individu termasuk mangsa telah direkodkan keterangan mereka setakat ini.

Tambahnya, suspek ditahan pada hari kejadian dan direman sehingga Rabu (24 April) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sukarela.

Pada pukul 9.24 pagi Jumaat, mangsa disimbah dengan air panas oleh seorang wanita di sebuah pangsapuri di George Town dengan lelaki itu melecur di bahagian depan dan belakang sebelah kanannya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan mangsa melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Rajawali I-Park.

Perbuatan yang dilakukan jirannya itu tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 20 saat. — The Star/ IMRAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram