[VIDEO] Lelaki OKU melecur seluruh badan, jiran simbah air panas di Bayan Lepas


  • 112
  • Sabtu, 20 Apr 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita menyimbah air panas ke arah lelaki OKU dalam lif sebuah pangsapuri di Bayan Lepas pada Jumaat.

SEORANG lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) 'sindrom down' melecur di bahagian depan dan belakang badan akibat disimbah dengan air panas oleh jirannya dalam kejadian di Jalan Rajawali I-Park, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Perbuatan yang dilakukan jirannya itu tular di media sosial menerusi rakaman video menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 20 saat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain dilaporkan berkata, mangsa tidak bekerja dan seorang OKU sindrom down, namun boleh bertutur dengan baik.

Mangsa berusia 33 tahun itu dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan berada dalam keadaan stabil.

"Rawatan di HPP mengesahkan lelaki itu melecur di sebahagian depan dan belakang badan sebelah kanan bukan disebabkan simbahan asid, tetapi air panas.

BACA LAGI: [VIDEO] Musim berjimat Liga M, hanya 3 pasukan nikmati pramusim di negara orang

BACA LAGI: 'Ref botak is back', bakal kendalikan VAR Liga Super?

"Berdasarkan rakaman CCTV, hanya mangsa dan suspek berada dalam lif itu ketika kejadian. Polis sudah mengenal pasti suspek wanita yang disyaki tinggal di kejiranan mangsa, namun belum ada tangkapan dibuat.

"Punca kejadian tidak dapat dipastikan kerana mangsa tidak pernah bertegur dengan suspek dan tidak pernah ada perselisihan faham. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, rakaman video tular itu memaparkan ruangan dalam lif yang dinaiki seorang wanita memakai baju putih, seluar hitam dan bercermin mata.

Orang ramai mendakwa wanita itu telah menyimbah asid ke arah mangsa sebelum pihak polis menafikan perkara itu dan mengesahkan ia hanyalah air panas.

Jafri berkata, polis sudah menahan suspek yang berusia 39 tahun itu pada Jumaat malam.

Menurut beliau, wanita itu ditahan di kawasan pangsapuri terbabit dan direman pada Sabtu untuk membantu siasatan berhubung insiden tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram