SEBANYAK 10 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Swasta dipilih untuk memulakan projek rintis sistem akreditasi secara dalam talian di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sistem yang dikenali sebagai ‘Electronic MQA Accreditation System’ atau e-MAS’ itu selari dengan agenda pendigitalan yang sering diuar-uarkan kerajaan serta Perancangan Strategik MQA 2021-2025 menerusi Teras Strategik 3 (Penyampaian Efektif Disokong Kemampanan Sumber).
BACA LAGI: Cikgu perlu berpada-pada buat 'content' mengajar elak warga maya melatah — Persatuan guru
Sebanyak 10 IPT swasta dipilih untuk memulakan projek rintis sistem akreditasi secara dalam talian di bawah MQA.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sistem itu menggabungkan dan mengintegrasikan kesemua modul-modul pengurusan untuk mewujudkan satu platform bersepadu dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan pendidikan tinggi negara.
“Antara kelebihan e-MAS ialah mentransformasi proses sedia ada kepada digital yang membolehkan permohonan akreditasi program dibuat 100 peratus dalam talian, boleh diakses 24 jam, proses akreditasi program dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, teratur dan secara real-time.
“Sistem ini telah melepasi fasa pengujian dan pelancaran sistem ini akan dimulakan dengan perintisan 10 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) rakan sistem e-MAS bermula Isnin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Tautan Kasih MQA bersama pengamal media pada Isnin.
BACA LAGI: Peniaga kecil desak haramkan TikTok seperti Indonesia, bimbang senasib pemandu teksi
Dalam majlis yang sama turut berlangsung pelanjutan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MQA dengan Badan Akreditasi Nasional Pengurusan Tinggi (BAN-PT), Indonesia.
MoU itu merupakan lanjutan yang pernah dilaksanakan sebelum ini, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan sedia ada selain meningkatkan kerjasama berfokus di antara kedua-dua pihak.
“Dari segi pembangunan kapasiti, MoU ini bakal membuka peluang kepada pegawai dari kedua-dua agensi bagi mengikuti program pertukaran staf di agensi masing-masing dan seterusnya mengukuhkan kerjasama dalam jaminan kualiti dan akreditasi pada masa akan datang,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram