MAJLIS Sukan Negara (MSN) mengesahkan bahawa tiada tindakan lanjut diambil berhubung dakwaan aduan salah laku seksual membabitkan jurulatih para renang yang dilaporkan media sebelum ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, keputusan itu dibuat selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MSN menerusi Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan (JSPS) udah melakukan siasatan terperinci pada 26 Mac 2024.
PDRM memberitahu kepada MSN bahawa kes terbabit diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (Tiada Tindakan Lanjut) berikutan tiada bukti yang dapat menyokong dakwaan berkenaan.
"Hasil penelitian hasil siasatan, MSN menerusi cadangan yang diberikan JSPS, juga mendapati tiada sebarang asas atau saksi untuk menyokong dakwaan salah laku berkenaan," kata kenyataan itu pada Ahad.
Sehubungan itu, MSN memutuskan supaya jurulatih berkenaan diberikan semula tanggungjawab melatih perenang-perenang para negara yang sedang bersiap untuk temasya Sukan Paralimpik Paris dalam tempoh terdekat ini.
BACA LAGI: Bakal dibuka untuk Piala Sultan Selangor, ada cadangan jadikan Stadium Merdeka gelanggang rasmi HM
BACA LAGI: Rekod gol kurang cantik, Wan Jamak tahu alasan Nafuzi bawa Milos Gordic ke Sang Kenari
Selain itu, MSN menegaskan bahawa sentiasa berusaha memastikan persekitaran selamat kepada semua pihak yang terbabit dalam program latihan kendalian mereka dan tidak pernah memandang ringan mana-mana aduan salah laku yang dikemukakan.
Jelas majlis berkenaan, mereka turut memiliki prosedur aduan dan siasatan yang menyeluruh serta telus, termasuk keutamaan melindungi privasi serta kerahsian semua pihak yang terlibat dalam mana-mana siasatan yang dijalankan.
"MSN berharap semua pihak, termasuk media massa, memahami bahawa kesejahteraan mental dan fizikal atlet-atlet para sentiasa menjadi keutamaan MSN.
"Hak dan keperluan atlet-atlet para ini perl dijaga dan MSN sentiasa sedia mengambil tindakan perlu demi membantu menangani spekulasi dan laporan tidak tepat yang menjejaskan mereka," jelasnya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia mengesahkan seorang jurulatih para disiasat atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.
Presidennya, Megat D Shahriman Zaharudin memaklumkan badan induk itu membuat laporan polis selepas menerima e-mel berhubung perkara itu daripada Persatuan Renang Para Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram