Langkah potong subsidi bahan api kekal dilaksana tahun ini — Rafizi


  • Primer
  • Rabu, 17 Apr 2024

Rafizi sejak tahun lalu sudah mengumumkan mengenai pelaksanaan program subsidi RON95 bersasar yang dijangka dibuat pada separuh kedua 2024.

KERAJAAN masih kekal dengan pendirian bagi melaksanakan pemotongan subsidi bahan api pada tahun ini dalam usahanya untuk mengurangkan defisit fiskal negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian menerusi satu temu bual bersama Bloomberg pada Isnin.

Rafizi berkata, langkah itu perlu dibuat bagi menguruskan kesan berantai daripada pemotongan subsidi berkenaan dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya peningkatan inflasi sebelum pelaksanaannya.

Beliau sejak tahun lalu sudah mengumumkan mengenai pelaksanaan program subsidi RON95 bersasar yang dijangka dibuat pada separuh kedua 2024 untuk mengoptimumkan sumber kerajaan bagi digunakan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, pada waktu ini, mereka yang berada dalam kumpulan pendapatan 20 teratas (T20) menerima 53 peratus daripada keseluruhan subsidi bahan api yang disalurkan kerajaan secara pukal.

Tambahnya, subsidi pukal terhadap bahan api itu telah mengambil sebahagian besar daripada jumlah RM81 bilion subsidi diperuntukkan pada tahun lalu.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

Economy Minister Rafizi Ramli delivering his speech during the launch of Malaysia Centre for Fourth Industrial Revolution (4IR) at Kuala Lumpur Convention Centre yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan merancang mengurangkan defisit bajet kepada 4.3 peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahun ini, berbanding lima peratus pada 2023.

"Untuk mencapai sasaran fiskal sebanyak 4.3 peratus, ada garis masa tertentu perlu dipatuhi," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Pada Selasa, ringgit merekodkan penyusutan kepada RM4.78 berbanding dolar AS, menghampiri rekod terendahnya pada RM4.8850 pada 1997 susulan krisis kewangan Asia.

Rafizi bagaimanapun tidak terlalu bimbang mengenai kemerosotan itu kerana ia dilihat tidak menjejaskan minat pelabur asing atau menghalang hasrat kerajaan.

“Untuk Kementerian Ekonomi, kami tidak lihat turun naik ringgit sudah mula memberi kesan negatif kepada penstrukturan semula jangka panjang yang dirancang,” kata Rafizi.

Menurutnya, kerajaan kini sedang menumpukan usaha bagi mewujudkan salah satu 'ekosistem start-up terbaik' dunia di Malaysia.

“Malaysia sepatutnya menjadi tempat yang lebih baik untuk syarikat baharu dalam sektor teknologi dan digital dengan mengambil kira semua kelebihan yang dimiliki,” kata Rafizi.

Pada masa sama, Khazanah Nasional Bhd akan mewujudkan super fund bersama dana berdaulat lain untuk melabur dalam syarikat permulaan, yang diharapkan kerajaan bakal menarik firma modal usaha niaga ke dalam negara. — The Star/HO JIA WEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram