Akaun 3 KWSP tambah alternatif simpanan pencarum, sedia dana kecemasan ketika terdesak


  • Massa
  • Khamis, 18 Apr 2024

Pelancaran Akaun 3 KWSP dijangka akan dilakukan menjelang penghujung April ini. — Gambar hiasan

LANGKAH Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menstrukturkan semula akaun pencarum dengan memperkenalkan Akaun 3 atau 'Akaun 'Fleksibel' disifatkan sebagai satu langkah positif dalam membantu kewangan rakyat Malaysia.

Perunding Kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir berkata, selain membantu pencarum mendapatkan wang ketika untuk kecemasan, dasar berkenaan juga dilihat memberikan pilihan alternatif terbaharu kepada rakyat Malaysia untuk menyimpan.

Ini kerana menurutnya, berbanding di bank, simpanan yang dimasukkan ke Akaun 3 itu juga mampu memberikan dividen lebih tinggi mencecah lima hingga enam peratus setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, rakyat Malaysia seharusnya mengambil peluang untuk melakukan simpanan tambahan di 'Akaun Fleksibel' tersebut.

Menurut laporan The Star pada Selasa, pelancaran Akaun 3 dijangka akan dilakukan menjelang akhir April.

Jelas laporan berkenaan, akaun untuk ahli berusia bawah 55 tahun itu akan distruktur semula daripada dua akaun kepada tiga bermula 11 Mei depan.

Pada waktu ini, bagi ahli berumur di bawah 55 tahun, 70 peratus daripada caruman mereka masuk ke Akaun 1 manakala 30 peratus ke Akaun 2.

Bagaimanapun, Selepas Akaun 3 dilaksanakan, ia akan dibahagikan kepada tiga dengan 75 peratus akan dimasukkan ke dalam Akaun 1, Akaun 2 (15 peratus) dan Akaun 3 (10 peratus).

Laporan tersebut yang memetik sumber berkata, simpanan daripada Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan oleh ahli pada bila-bila masa, dengan jumlah pengeluaran minimum ialah RM50," tambah sumber itu.

BACA LAGI: Perang dunia ke-3 boleh tercetus jika Israel dibiar terus cabul undang-undang antarabangsa

2580842 (1)

Perunding kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir.

BACA LAGI: [VIDEO] Pangkalan udara Israel jadi sasaran peluru berpandu Iran

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kewujudan Akaun 3 tersebut sememangnya boleh menjadi talian hayat terakhir lebih-lebih lagi untuk individu yang tidak memiliki simpanan di tempat lain.

"Dia keperluan setiap rakyat ini berbeza-beza. Untuk yang ada tabungan itu mungkin tiada masalah.

"Tapi bagi ramai yang tiada itu, dana daripada akaun ini sememangnya boleh menjadi dana talian hayat terakhir.

"Ini kerana isu-isu kecemasan termasuk seperti penularan Covid-19 ini boleh berulang," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pencarum supaya tidak menyalahgunakan akaun tersebut bagi membuat perbelanjaan yang bukan di bawah kategori terdesak.

Ujarnya, ini kerana tindakan tersebut akan menjejaskan jumlah caruman di Akaun 2 dan 1 yang masing-masing boleh digunakan untuk pembelian rumah rumah dan simpanan dana untuk waktu persaraan.

"Jika nak guna pun jangan untuk perkara bukan kecemasan termasuk contohnya bagi pulang beraya atau bercuti.

"Kalau nak keluarkan pun mungkin untuk keperluan betul-betul mendesak seperti baiki kereta kalau betul enjin dah rosak sampai tak boleh bergerak atau rumah rosak sampai tak boleh diduduki misalannya," ujar Shamsuddin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram