PLKN 3.0 perintis bermula tahun ini, libatkan pelajar Tingkatan 4


  • Primer
  • Rabu, 13 Mac 2024

Progam rintis PLKN 3.0 hanya akan melibatkan latihan asas yang sebahagian besarnya melibatkan unsur nasionalisme. — Gambar hiasan

PELAKSANAAN rintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula pada tahun ini melibatkan pelajar Tingkatan Empat, kata Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Syed Ibrahim yang merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Keselamatan berkata, program rintis itu hanya akan melibatkan latihan asas yang sebahagian besarnya melibatkan unsur nasionalisme.

“Program perintis akan diadakan tahun ini, melibatkan pelajar Tingkatan Empat, tetapi ia tidaklah seketat yang anda sangkakan. Tidak libatkan latihan ketenteraan.

"Ia tidak akan seperti pergi ke kem, belum lagi, kerana kita tidak mempunyai semua kemudahan yang tersedia kerana kem yang ada (tentera dan polis) perlu dibaik pulih terlebih dahulu.

“Program perintis ini akan lebih memfokuskan kepada semangat nasionalisme,” katanya baru-baru ini.

Menurut Syed Ibrahim, program rintis itu akan memberikan gambaran tentang pelaksanaan sebenar PLKN 3.0 tahun depan, meskipun belum melibatkan latihan ketenteraan.

Ujar beliau, latihan penuh PLKN 3.0 bakal bermula tahun depan memandangkan Kementerian Pertahanan (Mindef) masih dalam proses memuktamadkan butiran seperti modul bakal digunakan.

Pada masa ini, beliau berkata, Mindef sedang dalam proses mengumpulkan 10,000 pelajar bagi setiap sesi tahun depan di kem yang diubah suai di seluruh negara.

“Akan ada tiga sesi PLKN melibatkan 10,000 pelajar setiap sesi, bermakna secara keseluruhan akan ada 30,000 peserta setahun,” jelasnya.

Bagaimanapun, disebabkan kekurangan kemudahan, Mindef berkemungkinan memulakan program berkenaan dengan kumpulan kecil iaitu antara 2,000 hingga 5,000 pelajar.

BACA LAGI: Moreh antara 3 tradisi masyarakat Melayu meresap jadi amalan umat Islam sepanjang Ramadan

Johor PKR chief Syed Ibrahim Syed Noh during press conference at Paragon Hotel on Feb 27.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

BACA LAGI: [VIDEO] Payung terjun 'tak kembang', anggota Paskau berdepan detik cemas ketika di udara Kuantan

Syed Ibrahim berkata, pengubahsuaian kemudahan itu dijangka berlaku tahun depan dengan lebih banyak pembiayaan akan diperlukan daripada Kerajaan.

“Setiap tahun, kami mempunyai kira-kira 400,000 pelajar Tingkatan Empat, tetapi kem kami hanya boleh mengambil kira-kira 20,000 orang pada satu-satu masa, jadi bagaimana kami boleh menampung mereka semua?” katanya.

Syed Ibrahim berkata, jawatankuasa terlibat bagaimanapun masih belum menerima maklumat berhubung garis masa bagi setiap sesi PLKN 3.0.

“Mungkin akan ada satu sesi pada suku pertama tahun ini, dan sesi kedua pada suku kedua, dan seterusnya. Kami belum mempunyai tarikh khusus untuk ketiga-tiga sesi itu,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu menjangkakan cadangan penuh daripada Mindef tahun ini sebelum program rintis terbabit bermula, sambil menambah kementerian akan membentangkannya kepada Kabinet terlebih dahulu.

Beliau menambah, Jawatankuasa Pilihan boleh memanggil pihak berkepentingan yang berkaitan dan menangani kebimbangan yang timbul.

Berdasarkan laporan baru-baru ini, antara kebimbangan dibangkitkan ibu bapa dan pihak berkepentingan termasuk kemungkinan berlakunya kejadian buli, gangguan seksual dan pergaduhan bermotifkan perkauman.

Syed Ibrahim berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keselamatan menyasarkan bagi mewujudkan mekanisme berkesan untuk memantau kejadian sedemikian, dan memastikan kes serupa tidak berulang.

Pada 2009, seorang pelatih wanita di kem latihan Chini didakwa dicabul lebih 20 pelatih lelaki pada waktu malam, dengan satu pergaduhan dipercayai bermotifkan perkauman berlaku di kantin kem antara dua kumpulan pelajar kemudiannya dilaporkan berlaku empat hari kemudian.

Pada 2004, seorang pelatih dilaporkan dirogol di kem Merang di Setiu, Terengganu.

Pada 2013, media melaporkan sebanyak 23 kematian direkodkan di kem di seluruh negara sejak program latihan Khidmat Negara bermula pada Disember 2003.

Syed Ibrahim berkata, satu mekanisme berkesan perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum program berkenaan dilaksanakan untuk memantau kes sedemikian.

“Sudah tentu buli boleh berlaku di mana-mana, walaupun di sekolah, tetapi kita mesti mengambil langkah untuk mencegah dan menyelesaikannya jika ia berlaku.

“Kami telah meminta Mindef melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu terlibat,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim, antara matlamat utama PLKN 3.0 adalah untuk memupuk perpaduan dalam kalangan peserta pelbagai kaum dan agama.

Katanya, perwakilan kaum yang lebih adil turut dicadang dilaksanakan di setiap kem termasuk untuk pelatih dan jurulatih.

“Tetapi masalahnya, berapa ramaikah askar bukan Melayu yang kita ada di negara ini? Kita tidak boleh mengambil jurulatih asing kerana ini melibatkan keselamatan negara.

“Bagi pelatih, Mindef berpandangan ia perlu dilakukan mengikut demografi semasa iaitu 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina, dan lima peratus India, yang pada saya adalah munasabah.

“Tetapi Architects of Diversity (sebuah NGO) percaya perwakilan mengikut kaum mesti sama supaya kita benar-benar melihat integrasi antara pelajar. Sudah tentu, ini terbuka kepada perdebatan, dan ia masih belum diputuskan lagi,” tambahnya. — The Star/ARFA YUNUS/HO JIA WEN/MARTIN CARVALHO/BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram