[VIDEO] Pernah berbulan jadi restoran 'ghaib', penyokong tegar TBG kini tak menang tangan terima pelanggan


  • Bizz
  • Selasa, 16 Apr 2024

Cafe Awesome of Arts dijalankan bersama ahli keluarga besar Muhammad Fikri sejak beroperasi pada tahun 2017.

MENCEBURI dunia perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia memerlukan persediaan dari segi mental dan fizikal yang bukan sedikit.

Menyedari hakikat itu, pastinya tidak semua individu sanggup mengambil risiko untuk memulakan sesebuah perniagaan.

Namun bagi Muhammad Fikri Abdul Khalil, dek rasa cinta yang mendalam terhadap dunia kulinari membuatkan dirinya berani membuka sebuah restoran di usia 25 tahun.

Mengenali pemilik Cafe Awesome of Art, selain kecintaan pada seni masakan, keluarga adalah segala-galanya bagi pemuda berusia 32 tahun itu.

Hasrat membina restoran di negeri kelahirannya juga bertitik tolak dari niat mahu membantu keluarga tercinta.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, dirinya menggalas tanggungjawab besar untuk menjaga dan mengubah nasib insan terdekatnya ke arah lebih baik.

"Cita-cita mengusahakan restoran memang sudah ada semasa zaman belajar lagi. Lebihan duit simpanan yang ada saya jadikan sebagai modal.

"Saya mahu bebas berkarya dengan ilmu yang ada dalam bidang ini dan dalam masa sama memberi peluang kepada orang lain merasai kelainan masakan yang disediakan di restoran kami," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Peminat masakan Baba Nyonya tak perlu lagi ke Melaka, Madam Lee Nyonya Private Dining kini di Palm Garden Hotel Putrajaya

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah cuci tandas masjid, gadai emas isteri, Cef Ammar kongsi detik sukar hidup sebelum perniagaan popular

Hampir satu dekad beroperasi, Muhammad Fikri kini mampu berbangga apabila premis yang dijalankan bersama ibu bapa dan adik-beradiknya semakin dikenali ramai.

Diusahakan sejak 2017, Cafe Awesome of Art yang berlokasi di Bandar Agacia, Kampar, Perak kini menjadi antara restoran yang popular dalam kalangan pengunjung daerah itu.

Tidak hanya menawarkan hidangan bertemakan Barat, malah keunikannya juga terletak pada keenakan masakan panas yang menjadi pilihan ramai.

Malah kemahiran Muhammad Fikri bereksperimentasi dengan pelbagai jenis bahan membuatkan ada sahaja sajian baharu yang hendak diterjemahkan.

"Saya gemar mencuba resipi baharu agar pelanggan tidak cepat bosan.

"Saya akan menyediakan menu yang boleh mendatangkan keuntungan kepada premis dalam masa sama dapat memuaskan hati pelanggan," kongsi penyokong tegar kelab bola sepak Perak FC atau juga dikenali sebagai The Bos Gaurus (TBG).

WhatsApp Image 2024-04-15 at 18.47.40

Muhammad Fikri

Namun bapa kepada sepasang cahaya mata itu mengakui, proses untuk berada di tahap sekarang bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Kongsi lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Culinary Arts di sebuah universiti swasta itu lagi, tiga tahun pertama memulakan perniagaan adalah waktu yang paling genting buat mereka.

"Waktu mula-mula berniaga, tiada siapa kenal kami, masa itu kalau dapat untung RM10 pun dah bersyukur sangat-sangat. Ya lah, bisnes baru nak up.

"Paling saya tidak boleh lupa, ada beberapa hari yang langsung tiada pelanggan, sedangkan kedai beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 9 malam," luahnya yang pernah bekerja sebagai pembantu cef di hotel dan restoran terkemuka di ibu kota.

Namun dugaan tidak terhenti di situ, lebih memburukkan keadaan, restoran itu pernah dikatakan 'ghaib' apabila ada pelanggan dan kenalan yang mengadu restoran tidak dibuka pada hari tertentu.

Malah Muhammad Fikri berkata, dia sendiri pernah menyaksikan situasi yang mana ramai pelanggan berhenti di hadapan kedainya namun tiada seorang pun yang singgah.

WhatsApp Image 2024-04-15 at 21.24.42

Antara menu popular yang ditawarkan di Cafe Awesome of Art.

"Agak aneh kerana kedai memang beroperasi seperti biasa kecuali pada Rabu. Adakalanya, ada pelanggan yang dah sampai depan pintu tapi raut wajah mereka seperti kehairanan, sebelum berlalu pergi dari sini.

"Tidak mahu bersangka buruk, kami hanya mampu berdoa, memasang alunan ayat Kursi dan ayat 1,000 Dinar di dalam kedai agar premis kami sentiasa dalam jagaan ALLAH SWT," cerita pemuda tersebut.

Benarlah kata pepatah, akan datang pelangi selepas hujan. Berkat kesabaran mereka sekeluarga, restoran itu kini semakin mendapat tempat di hati pencinta makanan.

Lebih membanggakan, Cafe Awesome of Art juga pernah tersenarai dalam kedudukan tiga teratas kafe pilihan seperti yang dicatatkan Tourism Perak pada hujung tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram