[VIDEO] Insiden berdarah KLIA: Suami ada 2 rekod jenayah lampau, hubungan bermasalah sejak 2016


  • 112
  • Ahad, 14 Apr 2024

Hafizul Harawi, suspek utama yang didakwa melepaskan tembakan kepada isterinya di Balai Ketibaan KLIA 1 di Sepang, Selangor pada Ahad.

SEORANG lelaki melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di Sepang, Selangor pada Ahad.

Mangsa yang dipercayai seorang pengawal peribadi itu parah akibat terkena tembakan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu melibatkan seorang lelaki tempatan yang melepaskan tembakan kepada isterinya.

"Namun tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Pemandu panas punggung, hadap jem 8 hingga 12 jam andai balik beraya Ahad

BACA LAGI: Ketahui jalan alternatif, waktu sesuai elak sesak pulang beraya dengan selamat dan lancar

Beliau berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.

"Mangsa cedera akibat ditembak di perut, kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut," jelasnya.

Hussein turut memaklumkan, motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai kes cubaan membunuh.

"Usaha memburu dan mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan," katanya.

Tambahnya lagi, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan dan situasi di KLIA 1 terkawal.

"Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian," ujarnya.

Sementara itu, seorang individu dikenali sebagai Ustazah Farah Cie memaklumkan pengawal peribadinya cedera parah selepas ditembak.

"Ada individu melepaskan tembakan kepada pengawal peribadi saya di KLIA1. Allahuakhbar! Laporan polis telah dibuat. Kenyataan rasmi akan dibuat, " katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Dalam pada itu, suspek yang melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, awal pagi Ahad, pernah ditahan pada Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah ke atas isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semakan polis mendapati isteri suspek pernah membuat dua laporan polis terhadap suaminya pada 2016 dan 2023 dan dalam proses penceraian.

"Buat masa ini motif yang kita dapat pastikan adalah lebih kepada perihal peribadi antara suspek dengan isterinya.

"Mangsa pernah buat dua laporan polis sebelum ini berhubung ugutan jenayah iaitu pada 2016 dan yang terbaharu pada Disember tahun lalu dan hasil daripada laporan polis itu, suspek sudah pun ditahan polis," katanya.

Suspek, Hafizul Harawi, 38, ketika ini dipercayai melarikan diri ke utara tanah air dan diklasifikasikan sebagai penjenayah berbahaya.

Mohd Shuhaily berkata, mana-mana pihak yang dapat mengesan suspek diminta segera melaporkan perkara itu kepada polis, namun dinasihatkan supata tidak bertindak sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram