KERETAKAN yang berlaku di Jambatan Tok Pasai, Kuala Kedah, Kedah adalah keretakan permukaan jalan di sambungan pengembangan.
Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria bagaimanapun berkata, keretakan tersebut sudah lama wujud, namun baru disedari selepas ia ditularkan di media sosial.
Menurutnya, sambungan pengembangan adalah kawasan yang mana dua struktur jambatan dipisahkan secara struktur dan ia tidak bersambung.
"Gambar yang tular di Jambatan Tok Pasai adalah keretakan permukaan jalan di expansion joint (sambungan pengembangan), semakan di tapak keretakan ini telah lama wujud dan mungkin baru disedari pengadu.
"Berdasarkan gambar yang dikongsi, bahagian tepi retakan mempunyai rumput dan pasir menunjukkan ia telah lama dan bukan retakan baharu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
BACA LAGI: Kena lenjan lori berat sampai retak, penduduk Kuala Kedah khuatir jambatan runtuh
Jambatan Tok Pasai menghubungkan Kampung Kubang Rotan, Kampung Kubang Jerangau dengan pekan Kuala Kedah.
Mohamad Yusoff berkata, dalam kerja penyelenggaraan, permukaan jalan di kawasan itu diturap bagi memberi keselesaan kepada pengguna semasa melaluinya.
Ujarnya, disebabkan jambatan merupakan struktur rasuk yang panjang, berlaku pengembangan dan penguncupan atas faktor cuaca, suhu panas dan sejuk.
"Kawasan sambungan pengembangan ini akan sentiasa mengembang dan menguncup yang seterusnya membentuk retakan di kawasan berkenaan," katanya lagi.
Majoriti pada Khamis melaporkan kegusaran penduduk di sekitar Kuala Kedah mengenai keadaan Jambatan Tok Pasai yang semakin teruk.
Rata-rata pengguna jambatan tersebut bimbang keadaan jambatan yang mulai retak berisiko mengakibatkan kemalangan serius buat pengguna yang melalui laluan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram