[VIDEO] Lepas 6 tahun, anak bongkar bapa dera, simen jasad ibu belakang tandas


  • Benua
  • Isnin, 15 Apr 2024

Pihak berkuasa berjaya menahan suspek kes pembunuhan seorang wanita enam tahun lalu, pada Ahad. — Agensi

PENEMUAN rangka manusia dalam sebuah rumah membongkar satu rahsia gelap yang disimpan kemas sebuah keluarga selama enam tahun.

Hasil siasatan mendapati rangka tersebut adalah milik seorang wanita, JU alias U, 35 yang menetap di Desa Bontoala Tua, Daerah Bontoala, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Media antarabangsa memaklumkan, wanita berkenaan dibunuh suaminya sendiri sebelum ditanam dan disimen di dalam rumah mereka enam tahun lepas.

Rahsia itu terbongkar selepas anak sulung mangsa yang dikenali sebagai VI, melaporkan perbuatan bapanya kepada pihak polis.

Menurut pemuda berusia 17 tahun itu, kejadian ngeri tersebut berlaku pada tahun 2018, sewaktu dia masih bersekolah rendah.

Dalam ingatan VI, ibunya didera bapanya sendiri sehingga mengalami kecederaan di muka.

"Ketika itu saya masih di sekolah rendah. Selepas pulang sekolah, saya melihat ibu sudah terbaring di atas lantai, saya hampir tidak mengenalinya disebabkan mukanya yang bengkak," katanya di hadapan penyiasat di Ibu Pejabat Polis Makassar pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden berdarah KLIA: Suami ada 2 rekod jenayah lampau, hubungan bermasalah sejak 2016

BACA LAGI: Rangka manusia tak cukup sifat terdampar di Pantai Merang

Ceritanya lagi, selepas dua hari, dia melihat ibunya masih terbaring di tempat yang sama dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Tidak lama kemudian, kata VI, dia melihat sendiri bapanya membawa pasir dan simen ke dalam rumah.

“Bapa beritahu jika ada yang bertanya tentang simen tersebut, saya perlu jawab bahawa ia digunakan untuk membuat kolam ikan," ujarnya.

Akuinya lagi, dia dan seorang adik lelaki yang berusia lima tahun ketika itu diminta oleh bapa untuk berbohong sekiranya ada yang bertanya tentang keberadaan ibu.

Mereka perlu memberitahu kepada orang lain bahawa ibu sudah pergi ke tempat lain.

WhatsApp Image 2024-04-15 at 16.46.34

Rangka ibu VI ditemui di belakang tandas rumah.

Setelah laporan diterima, pihak berkuasa akhirnya menahan suspek pada Ahad.

Suspek berusia 43 tahun yang mengakui perbuatan kejinya itu berkata, dia menyerang isteri menggunakan bongkah kayu.

Selepas mangsa meninggal dunia, mayatnya dikebumikan di dalam rumah, betul-betul di belakang tandas.

"Saya kemudian menutupnya dengan pasir dan simen," jelasnya.

Suspek berkata, dia membunuh wanita itu gara-gara cemburu melihat mangsa bertemu bekas kekasihnya.

“Saya syak dia jumpa bekas kekasihnya di Lorong 1, saya tanya namun dia tidak mahu mengaku,” katanya.

Berang dengan perbuatan isterinya, suspek nekad memukul mangsa di kepala menggunakan bongkah kayu sehingga maut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram