PENDUDUK di sesetengah kawasan di Langkawi, Kedah menzahirkan keluhan apabila terpaksa hidup berbekalkan air keruh dengan warna seolah-olah 'teh o'.
Ia susulan video tular berdurasi 29 saat memaparkan aliran air paip berwarna coklat yang dikatakan diambil dari sebuah rumah di Langkawi.
Kejadian itu dikongsikan seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Kak Ngah Mia pada Ahad.
Menurutnya, isu mendapatkan bekalan air bersih di daerah tersebut sudah berlanjutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Air di Langkawi sekarang ini teruk sangat, hari-hari jenuh tidak ada air. Bila dah ada air, warna macam 'teh o' lagi.
"Isu air ni dah berapa tahun dah rasa, bil (air) sampai laju saja mereka," katanya.
BACA LAGI: Tarif air naik gusarkan rakyat, penduduk 4 negeri ibarat masih terkena 'sumpahan'
BACA LAGI: Tarif air naik 22 sen semeter bermula 1 Februari
Menjengah ke ruangan komen, ada penduduk yang mempersoalkan keperluan membayar bil air setiap bulan sedangkan bekalan air yang diperoleh adalah tidak bersih.
"Bukankah kita bayar bil air tiap bulan untuk dapatkan bekalan air bersih kalau air paip serupa sarsi apa beza dengan air parit?," soal Permai Suri.
Sementara itu, Mem Hana mengakui, bekalan air di kawasan lain sekitar Kedah masih baik dan tidak mempunyai masalah.
"Dua tiga hari lepas dengar di radio SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) cakap bekalan air dalam negara mencukupi dan tiada masalah.
"Kenapa Langkawi macam masalah betul sekarang? Balik Pulau Pinang, Kulim raya ini langsung tidak ada masalah air. Tiada catuan air pun di Kulim.
"Hari itu Pulau Pinang masalah paip air pun kejap sahaja sudah selesai. Kenapa SADA (Syarikat Air Darul Aman) Langkawi bermasalah ya?," soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram