JIKA pengguna lain terpaksa menempuh kesesakan jalan raya ketika pulang ke kota selepas menyambut perayaan Aidilfitri selama berjam-jam, lain pula ceritanya buat Zairul Annuar sekeluarga.
Perjalanannya menuju ke Kuala Lumpur menggunakan 'jalan tikus' di Ladang Bikam, Perak dipermudahkan berkat bantuan sekumpulan penduduk berbangsa Cina.
Pengalaman tidak boleh dilupakan itu turut dikongsikan Zairul Annuar menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.
Menurutnya, sekumpulan masyarakat Cina di daerah berkenaan bertindak membuka jalan baharu menggunakan jentolak semata-mata untuk memudahkan perantau berbangsa Melayu pulang semula ke ibu kota.
"Awalnya kami menggunakan lebuh raya dari Simpang Pulai untuk menuju ke arah selatan.
"Namun oleh kerana jalan terlalu sesak, kami terpaksa masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.
"Sewaktu menghampiri Ladang Bikam, aplikasi Google Maps memaklumkan ada kesesakan teruk di hadapan dan bertanya sama ada kami mahu menggunakan jalan alternatif. Tanpa berfikir, saya langsung setuju kerana melihat jalur merah yang panjang di aplikasi," katanya.
BACA LAGI: Ada 3 petunjuk jalan tak jem sampai 12 jam pulang ke ibu kota
Kongsi individu tersebut lagi, dalam perjalanan, mereka dibawa melalui jalan kampung hingga akhirnya sampai ke sebuah kawasan perumahan kecil.
Jelasnya, selepas melewati perumahan itu, mereka sekeluarga sampai di kawasan ladang kelapa sawit yang tidak berturap dan gelap sebelum memutuskan untuk berpatah balik ke kawasan perumahan sebelumnya.
Namun tiba-tiba, keretanya diberhentikan sekumpulan lelaki berbangsa Cina.
"Bos, you mahu pergi KL kan? Jangan patah balik. Itu tadi depan you tak boleh jalan kan?
"Tidak mengapa, kita bawa backhoe (jentolak) baiki itu jalan. U tunggu sekejap.
"Kalau you patah balik pun tak ada guna, jalan Ladang Bikam sana jem banyak teruk sebab ada kemalangan," ujar seorang lelaki pertengahan umur.
Zairul Annuar sekeluarga sampai di kawasan ladang kelapa sawit yang tidak berturap dan gelap.
BACA LAGI: [VIDEO] Cari modal nak Aidilfitri, cubaan 24 PATI ikut laluan tikus digagalkan Maritim Selangor
Ternyata laluan yang dilalui adalah kawasan perumahan yang majoritinya diduduki kaum tersebut.
Ujarnya, masyarakat setempat berpakat untuk menggunakan jentolak untuk membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan berkenaan.
"Ini kerja sekejap saja. Jalan ada sikit bukit, susah kereta biasa mahu jalan, kenderaan pacuan empat roda (4x4) saja boleh, sekarang kita ratakan (jalan), jadi semua orang boleh lalu," ujar salah seorang lelaki di situ.
Tindakan murni penduduk kampung yang membantu melancarkan perjalanan anak-anak perantau mendapat respons positif daripada warga maya.
Malah, tidak kurang juga yang berkongsi pelbagai kisah manis masing-masing ketika dibantu individu berbangsa Cina.
"Dulu saya pernah masuk kebun pisang semak tapi luas dan cantik pokok pisangnya. Dia (Pemilik kebun) tak mahu jual tapi beri percuma dan tunjukkan rumpun mana yang sesuai untuk diambil.
"Dia benarkan masuk buka pagar sendiri walaupun semasa dia tiada, kawasan Ladang Bikam tepi jalan ada sulam pokok durian," kata Kamarudin Hussain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram