Ibu bapa dera 2 anak guna seterika di Sabah mengaku tak bersalah


Remaja lelaki tersebut dipercayai didera menggunakan seterika sekurang-kurangnya empat kali pada perut dan belakang badan kerana terdapat kesan melecur yang sudah hampir kering. — PDRM

SEPASANG suami isteri didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang remaja dan seorang kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

Kamal Abdullah, 27, dan Norfaizah Boting, 36, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Flavian Edward Henry di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Kamal menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan secara sukarela mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Norfaizah menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sukarela dengan senjata atau cara berbahaya, dan satu di bawah Seksyen 323.

Flavian menetapkan 17 Mei untuk sebutan seterusnya, sementara menunggu laporan perubatan penuh mengenai kedua-dua mangsa.

Kamal ditawarkan jaminan RM2,500 bagi setiap pertuduhan manakala jaminan Norfaizah ditetapkan RM6,000 untuk setiap pertuduhan bagi pertuduhan Seksyen 324 dan RM4,000 bagi pertuduhan lain.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, tidak dapat membayar ikat jamin.

BACA LAGI: Ibu bapa durjana ditahan dera 2 anak guna seterika, air panas sehingga melecur di Keningau

Kedua-dua beradik itu menerima bantuan daripada orang ramai. — Facebook/Kathleen Durcey

BACA LAGI: [VIDEO] Bapa budak kena dera di Penampang mengamuk, kali ini pengasuh taska pula buat laporan polis dakwa dikasari

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, Kamal dan Norfaizah ditahan pada 5 April selepas laporan dibuat terhadap mereka kerana didakwa mendera remaja lelaki dan kanak-kanak masing-masing berusia 13 dan lima tahun.

Kedua-dua mangsa didakwa didera menggunakan seterika, batang besi, sudu panas dan air panas hingga menyebabkan badan luka dan melecur.

Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki berusia 27 tahun ketika didatangi mangsa berusia 13 tahun yang menjual burger di sebuah premis di daerah tersebut pada pukul 12 tengah hari, 2 Mac lalu.

Menurutnya, lelaki itu membuat laporan polis selepas melihat gambar mangsa dengan kesan luka terbakar. — The Star/Stephanie Lee

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram