[VIDEO] Tak cukup rompak kedai gunting rambut, penjenayah berparang pecah mesin wang kedai runcit di Rawang


  • 112
  • Selasa, 16 Apr 2024

Tangkap layar memaparkan keadaan sewaktu suspek bertindak merompak sebuah kedai runcit di Jalan Seroja, Bukit Sentosa Rawang pada Ahad.

POLIS memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai runcit bersenjatakan sebilah parang panjang di Jalan Seroja, Bukit Sentosa Rawang, Selangor pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pengadu yang sedang berniaga di kedai tersebut didatangi seorang lelaki India yang memakai topeng muka dan berbaju warna biru kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Menurutnya, suspek meluru ke arah kaunter kedai dan memecahkan mesin wang sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM300 bersama dua telefon bimbit milik pengadu.

“Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam dan pengadu mengalami kerugian berjumlah RM3,800,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kedah menuju Kelantan?' Penduduk Langkawi resah dah bertahun-tahun hidup hadap 'ayaq teh o'

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden berdarah KLIA: Suami ada 2 rekod jenayah lampau, hubungan bermasalah sejak 2016

Ujar Mohd Asri, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, melalui perkongsian orang awam, suspek dipercayai terlebih dahulu merompak sebuah kedai gunting rambut satu jam sebelum kejadian.

Sebagaimana yang tular di media sosial pada Selasa, sekeping gambar menunjukkan suspek berpakaian sama turut dilihat berada di dalam premis gunting rambut berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram