CUBAAN sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran yang membawa 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) untuk masuk ke negara ini menggunakan laluan tikus pada Sabtu malam gagal.
Difahamkan, PATI terbabit dalam perjalanan masuk ke negara ini bagi mengumpul belanja sempena Aidilfitri kira-kira dua bulan saja lagi sebelum kembali ke negara asal.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor difahamkan berjaya menahan bot kayu tersebut di kedudukan 4.1 batu nautika barat Sungai Janggut, Kapar, Selangor kira-kira pukul 1.30 pagi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan melalui Sistem pengawasan laut (SWASLA) apabila satu bot mencurigakan dari perairan Indonesia menuju ke perairan Pulau Angsa kira-kira pukul 11.45 malam.
"Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rutin rondaan diatur gerak ke lokasi dan berjaya memintas bot tersebut lebih kurang pukul 12.15 tengah malam tadi.
"Bot suspek diarahkan berhenti tetapi cuba bertindak melarikan diri namun dengan kecekapan pasukan operasi, bot berkenaan berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
BACA LAGI: Nenek pelik tengok cucu aktif semacam, rupanya ibu bancuh susu bayi guna cecair syabu
BACA LAGI: Simpan resit, dokumen di Google Drive mudahkan pembayar buat e-Filing LHDN
Abdul Muhaimin memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 24 individu disyaki warga Indonesia dan Myanmar berada di atas bot ketika penahanan dibuat.
Jelasnya, kesemua yang ditahan termasuk 10 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta empat lelaki termasuk seorang kanak-kanak dan enam wanita warga Myanmar berumur daripada lapan hingga 52 tahun.
"Hasil pemeriksaan ke atas dokumen, kesemua mereka gagal mempamerkan dokumen perjalanan diri yang sah.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut ke MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 untuk maklum balas segera," ujar beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram