[VIDEO] Bapa budak kena dera di Penampang mengamuk, kali ini pengasuh taska pula buat laporan polis dakwa dikasari


  • 112
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Tangkap layar video bapa kepada budak lelaki yang menjadi mangsa dera di sebuah taska di Luyang, memukul suspek yang merupakan pengasuh di premis tersebut.

MASIH hangat diperkatakan kes seorang kanak-kanak lelaki didera di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Luyang, Penampang, Sabah.

Terbaharu, timbul pula satu video tular memaparkan ayah kepada kanak-kanak berkenaan mengasari pengasuh wanita tersebut.

Melalui video yang dimuat naik di sosial media pada Khamis memaparkan seorang lelaki memakai topi dan berbaju hitam dilihat memarahi dan menampar pengasuh berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya berpendapat lelaki berkenaan bertindak sedemikian kerana terlalu marah melihat anaknya didera.

Susulan daripada itu, pengusaha dan pengasuh berkenaan bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya setakat ini, menerima tiga laporan polis mengenai kejadian itu.

Katanya, laporan polis itu daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh taska (suspek) yang mendakwa dikasari oleh bapa kanak-kanak terbabit.

BACA LAGI : [VIDEO] Pengasuh taska tergamak tendang, pukul budak lelaki tengah makan di Penampang

"Mangsa kanak-kanak dan suspek dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk pemeriksaan doktor.

"Setakat ini, dua kertas siasatan dibuka iaitu mengikuti Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan" katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaidi berkata, terdahulu pihaknya mengesan satu rakaman video yang tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang dikasari oleh seorang pengasuh di taska.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati insiden itu berlaku di sebuah taska di Luyang.

"Ibu bapa kepada kanak-kanak (mangsa) itu dimaklumkan oleh anaknya bahawa dia dikasari pengasuh taska sehingga mendapati kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

"Ibu bapa kanak-kanak itu pergi ke taska berkenaan dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati anaknya (mangsa) dikasari oleh seorang pengasuh di taska berkenaan lalu membuat laporan polis di Balai Polis Penampang," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan satu video tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang sejak Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram