Terkandas 4 jam penumpang ETS KL- Butterworth luah rasa kecewa, KTMB mohon maaf


  • Massa
  • Rabu, 10 Apr 2024

Situasi dalam penumpang dalam Perkhidmatan Tren ETS yang dalam perjalanan dari KL Sentral ke Butterworth pada Selasa. — Facebook/PerakPress

RATA-RATA pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Ekspres Kuala Lumpur (KL)-Butterworth, Pulau Pinang meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang lambat mengambil tindakan selepas perkhidmatan kemudahan awam tersebut terganggu selama empat jam pada Selasa.

Manakan tidak, melalui satu hantaran yang dikongsikan di laman Facebook Perak Press, kesemua penumpang dibiarkan dalam keadaan berpanas tanpa lampu dan air terlalu lama.

"Malam raya dalam ETS, inilah nasib kesemua penumpang ETS EP 9176 KL- Butterworth. Berbuka puasa dalam keadaan tiada elektrik, lampu, penghawa dingin, tanpa makanan serta air dan tandas yang penuh.

"Train berhenti sebelum stesen Parit Buntar, terkandas di tengah landasan dari pukul 5.13 petang yang berpunca dari masalah teknikal.

"Pukul 7.50 malam baru lampu dibuka semula. Kesian pada kanak-kanak dan warga emas," katanya.

Menurut individu berkenaan, lebih mengecewakan lagi pihak KTMB mengambil masa yang terlalu lama untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Auxiliary train (ETS bantuan) datang dan kami dipindahkan pada pukul 9.44 malam. Lebih empat jam tersangkut,"ujarnya.

"Pada masa sama, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

"Masalah teknikal memang di luar kawalan. Tetapi 'backup solution' terlalu lambat. Difahamkan ini kali kedua berlaku tahun ini," luahnya.

BACA LAGI : Ketahui jalan alternatif, waktu sesuai elak sesak pulang beraya dengan selamat dan lancar

BACA LAGI : [VIDEO] Kutuk berwajah 'alien', wanita rupanya diludah, ditampar bekas teman lelaki

Menjengah ke ruangan komen, KTMB tampil memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh para penumpang pada Rabu.

Katanya, gangguan yang berlaku adalah berikutan daripada masalah alat talian elektrik yang terputus di antara Kamunting dan Bukit Merah.

"Justeru, perkara ini menyebabkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) EP9176 gagal untuk dikuasakan.

Walau bagaimanapun, KTMB sentiasa komited untuk memberikan bantuan segera jika berlaku situasi yang luar jangka.

"Penumpang ETS EP9176 telah dipindahkan ke set ETS bantuan untuk meneruskan perjalanan ke destinasi dengan selamat. Persegaran juga diberikan bagi penumpang yang terjejas.

"Sekali lagi, KTMB mohon maaf atas kesulitan yang berlaku," tulis pentadbit laman Facebook berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram