[VIDEO] Cemburu punca individu tendang, tumbuk lelaki dan wanita dekat stesen minyak Bukit Indah — Polis


  • 112
  • Ahad, 07 Apr 2024

Tangkap layar seorang individu memukul seorang lelaki dan wanita di hadapan sebuah stesen minyak yang terletak di Bukit Indah pada Sabtu.

TULAR di laman media sosial memaparkan seorang individu memukul seorang lelaki dan wanita di hadapan sebuah stesen minyak yang terletak di Bukit Indah dekat Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Video berdurasi kurang seminit itu turut menjadi bualan dalam kalangan warga maya ekoran daripada tindakan lelaki tersebut yang bertindak menumbuk dan menendang kedua-dua individu berkenaan tanpa menghiraukan orang awam di kawasan tersebut.

Dalam kejadian itu, suspek yang memakai jaket hitam dan berseluar pendek dilihat menumbuk mangsa lelaki berkali-kali di kepala walaupun cuba dileraikan beberapa individu lain sebelum menendangnya di perut.

Dia kemudiannya melepaskan satu tumbukan ke muka wanita berkenaan dan menarik rambut mangsa sehingga terjatuh.

BACA LAGI: Dua beradik maut hari terakhir sekolah sebelum cuti raya kemalangan langgar lari di Kuala Kangsar

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal kepala tersiat depan masjid lepas bertembung treler di Pontian

Malah dia juga bertindak menghentak kepala wanita tersebut di bahagian belakang sebuah kenderaan sebelum menarik rambutnya sekali lagi.

Lelaki itu juga kelihatan menjerit sesuatu kepada mangsa dan tindakannya itu turut menimbulkan kegusaran orang awam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Ibrahim Mat Som mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, suspek berusia 35 tahun ditahan di Lebuhraya Kota Iskandar pada pukul 12 tengah hari Ahad.

"Polis turut menerima laporan daripada lelaki berusia 26 tahun yang mendakwa dipukul oleh suami kawannya.

"Suspek juga membuat laporan polis berhubung kejadian.

"Hasil soal siasat ke atas pengadu dan suspek, kejadian dipercayai berpunca daripada cemburu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ibrahim berkata, permohonan reman dilakukan terhadap suspek bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram