[VIDEO] Kalimah ALLAH samar-samar, usah berlebih-lebih tafsir sebagai penghinaan


  • Massa
  • Ahad, 07 Apr 2024

Segelintir warga maya mendakwa corak tapak kasut jenama tempatan yang didakwa mempunyai kalimah ALLAH sebenarnya hanya menggambarkan kasut tumit tinggi wanita yang bertali. — Facebook

ISU penyalahgunaan kalimah ALLAH di Malaysia acap kali menjadi topik hangat dalam kalangan warga maya mutakhir ini. Belum lagi reda isu stoking tertera kalimah ALLAH yang dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Selangor, timbul satu lagi dakwaan kes sama melibatkan sebuah jenama kasut tempatan.

Menerusi satu video yang dimuat naik pengguna Facebook dengan nama akaun Mohd Haridz, dia mengakui terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah ALLAH.

Difahamkan, kasut berharga RM100 itu dibeli di rangkaian butik jenama berkenaan yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Pahang.

“Ini berita yang membuat umat Islam marah, pada 30 Mac lalu saya ada beli kasut untuk Aidilfitri, di Kuantan Parade.

“Isteri saya minat dengan sepasang kasut, kasut ini lepas beli tidak pernah buka dan letak dalam bilik, hari ini saya terdetik hati nak buka tapi bila semak, nampak ada (dakwaan) kalimah ALLAH pada tapak kasut,” katanya.

Video berdurasi tiga minit itu kini tular di aplikasi X, Facebook dan TikTok dengan lebih 700,000 tontonan setakat ini.

Pada masa sama, video tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah jadi trend ke?' suami isteri terkejut kalimah ALLAH tertera pada tapak kasut jenama lokal

BACA LAGI: [VIDEO] Dah anggap macam keluarga, instafamous terkejut tengok CCTV anak kena dera pengasuh

Malah ada yang berpendapat, umat Islam tidak seharusnya melatah dan menyiasat perkara tersebut sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

Pentadbir halaman Facebook Penang Kini melalui satu hantaran komen meminta agar orang awam untuk berfikir secara rasional tentang isu terbabit.

"Cuba untuk rasional tabayyun dahulu sampai investigation (siasatan) selesai. Kalau memang sengaja baru hayun macam KK Mart.

"Bagus kita sensitif isu macam ini tetapi jangan terlalu taasub semua benda kita nampak salah nanti orang nampak Islam ini agama susah sedangkan Islam tu agama yang mudah.

"Pendapat anda bagaimana? soalnya.

Sementara itu, Zainor Samad pula berkata, kejadian tersebut menjadi semakin panas apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mula memutar belit isu tersebut.

"Sebelum ini, semua palang dianggap salib. Ukiran di daun pintu, lukisan geometri di mimbar, jenang tingkap, asalkan ada sedikit palang, terus dihukum agenda Kristian.

"Jika diimbau lagi sebelum itu, apa sahaja lukisan dan lakaran di sejadah yang kadang-kadang bermotifkan pokok pun ditafsir sebagai simbol Yahudi, Iluminati, Zionis dan entah apa-apa lagi," katanya.

2632514

Tangkap layar memaparkan tapak kasut jenama tempatan yang didakwa mempunyai kalimah ALLAH. seperti yang ditularkan seorang pengguna Facebook.

Tambah Zainor lagi, sekarang, semua tulisan yang melengkok-lengkok yang nampak iras-iras ada huruf 'alif', 'lam' dan 'ha' dianggap kalimah ALLAH.

"Lalu ditularkan, 'Ini penghinaan kepada Islam dan ALLAH'. Perencah pun ditambah untuk menaikkan suhu sentimen Islam terancam.

"Apa kerajaan buat? Puak ini sudah semakin melampau. Ini tak boleh dibiar...", dan macam-macam lagi.

"Sudah-sudahlah. Perkara yang samar-samar, yang entah betul entah tidak, usahlah dihias dan ditafsir kemudian tular untuk membakar sentimen kebencian antara kaum dan agama.

"Kalimah ALLAH yang sebenar begini rupanya - (الله). Jika ada mana-mana tulisan yang tidak ketara seperti itu, disambung-disambung dengan tulisan lain, ditambah-ditambah dengan pelbagai ukiran, usahlah kita berlebih-lebih menafsirkannya sebagai penghinaan kepada ALLAH.

"ALLAH Maha Agung. Tidak terjejas dengan penghinaan manusia. Agama melarang kita bertakalluf (melebih-lebih) dalam hal-hal yang kita diberi kebenaran untuk memilih kemudahan dan keringanan.

"Kukuhkan kecintaan kepada ALLAH di dalam hati. Zahirkan dalam bentuk akhlak yang mulia. Sebarkan ALLAH sebagai Tuhan yang Rahmat-Nya meliputi semua orang dan benda. Di situ keagungan ALLAH akan menyerlah dan jiwa manusia akan akur dengan keagungan itu. Tak perlu bising-bising tak bertempat dan melaung tak tentu waktu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram