[VIDEO] Geng pemancing cemas, kapal pengawal pantai China tiba-tiba muncul di Beting Patinggi Ali


  • Tular
  • Selasa, 09 Apr 2024

Tangkap layar kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan Sarawak baru-baru ini.

KESERONOKAN sekumpulan pemancing bertukar menjadi cemas dan panik apabila kapal mereka dihampiri kapal pengawal pantai China di perairan Sarawak baru-baru ini.

Salah seorang daripada mereka juga sempat merakam kejadian berkenaan yang memaparkan jarak kapal pengawal pantai hanya beberapa ratus meter dari lokasi mereka memancing.

Melalui maklumat yang dikongsikan, kejadian itu berlaku di kawasan perairan Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika dari Miri yang turut dikenali sebagai South Luconia Shoals.

Hasil pemerhatian Majoriti, video tersebut pada mulanya dimuat naik oleh perakam di laman Facebook MD Hazwan pada Sabtu namun telah dipadamkan.

Ia kemudiannya tular di laman X (Twitter), @HaziqKapten pada Isnin dan mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kutuk berwajah 'alien', wanita rupanya diludah, ditampar bekas teman lelaki

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu punca individu tendang, tumbuk lelaki dan wanita dekat stesen minyak Bukit Indah — Polis

Susulan daripada video berkenaan seorang warga maya, @CaptainSaenchai menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Pertahanan (Mindef), Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ambil tindakan tegas.

"Jadikan kejadian dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) cedera ditembak ketika sedang menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak, Sabah sebagai pengajaran," tulisnya.

Untuk rekod, Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.

Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.

Belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram